SEGAMAT - [DIKEMASKINI] Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menggerakkan 196 anggota termasuk pegawai bagi menyelamatkan mangsa banjir menerusi Operasi Murni (Op Murni) di kawasan terjejas di Johor.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata, sebanyak 31 aset ATM juga telah digerakkan ke kawasan terlibat iaitu ke daerah Tangkak, Segamat, Kota Tinggi, Kluang dan Mersing yang dilanda banjir.
"Setakat jam 12 tengah hari tadi (Isnin), seramai 12 pegawai dan 184 anggota lain-lain pangkat sudah berada di lapangan dan memulakan tugas operasi.
"Sebanyak 31 aset ATM turut diatur gerak ke semua daerah itu membabitkan tujuh bot dan enjin bot, satu trak tujuh tan, 14 trak tiga tan serta dua trak satu tan.
"Kesemua anggota dan aset itu adalah dari Batalion kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Ke-33 Rejimen Artileri Diraja (RAD), Rejimen Kedua RAD dan Rejimen Keempat RAD serta Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (RRD), Rejimen 501 Askar Wataniah serta Skuadron Kelapan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Kem Segamat Batu Anam sebelum meninjau keadaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tambang di sini pada Isnin.
Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Menurut Hishammuddin, kerjasama antara agensi kerajaan di Johor dalam menguruskan bencana banjir sejak Jumaat lalu didapati berjalan lancar.
"Keadaan di Johor nampak lebih bersedia dengan kesemua aset dan kekuatan yang perlu digerakkan tidak berdepan sebarang masalah.
"Keutamaan ATM adalah memikirkan bagaimana kita hendak pindahkan mangsa-mangsa banjir sekiranya bencana itu berlaku.
"Itu prioriti untuk selamatkan nyawa dan selepas itu baru kita fikirkan di kawasan pusat pemindahan sementara (PPS) dengan kerjasama agensi-agensi dan kementerian untuk mengedar keperluan. Semua ini saya tengok kepemimpinan dan koordinasi peringkat negeri dan daerah berada dalam keadaan cukup selasa,” katanya.