[VIDEO] Banjir: Penduduk Kampung Mawai, Kota Tinggi sudah lali

Iklan
Keadaan banjir di jalan utama Kampung Mawai yang masih belum surut sepenuhnya menyebabkan sebahagian penduduk terpaksa dipindahkan ke PPS SK Mawai, Kota Tinggi.

KOTA TINGGI - Bencana banjir yang dialami hampir setiap tahun di Kampung Mawai di sini telah menjadi satu kebiasaan kepada penduduk di situ.

Berikutan itu, pelbagai inisiatif diambil oleh penduduk kampung itu bagi menghadapi masalah banjir termasuk mengemas barangan lebih awal sebelum hujung tahun selain membina longkang besar untuk mencegah air naik dengan terlalu cepat.

Iklan
Iklan

Salah seorang penduduk, Norazizan Morshidi, 35, berkata, ekoran kejadian banjir sejak beberapa tahun lalu, dia dan lapan lagi keluarga mengambil inisiatif berkongsi wang untuk membina sebuah parit sepanjang 300 meter.

Katanya, usaha pembinaan parit berkenaan dilaksanakan pada Disember tahun lalu yang mana menyaksikan kesan positif apabila paras air tidak setinggi banjir-banjir terdahulu.

Iklan

"Kawasan ini dilanda banjir setiap hujung tahun yang mana air akan naik di depan dan belakang belakang. Sehubungan itu, kami sepakat untuk kumpul wang dan bina parit di belakang rumah.

"Alhamdulillah berkesan, air memang naik, tetapi tidak seperti biasa, ia cuma lalu di pintu belakang sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Mawai di sini pada Isnin.

Iklan

Seorang lagi penduduk, Ramzan Bakri, 32, berkata, kejadian banjir yang berlaku hampir setiap tahun itu menyebabkan keluarganya sudah lali malah telah membuat persiapan menghadapi bencana berkenaan sejak Disember lalu.

"Tiap-tiap tahun air naik setiap kali musim hujan, lebih teruk daripada ini pun ada. Tahun ini tak teruk sangat sebab air cepat surut.

"Bagaimananapun, kami memang buat persiapan awal. Kami kemas awal barang-barang, bila orang arah keluar kami sedia sahaja," katanya.

Sementara itu, warga emas, Salmah Ahmad, 81, berkata, pihaknya bersyukur kerana tidak berlaku perkara tidak diingini sebelum dia dipindahkan ke PPS sebaik air mulai naik di kediamannya pada Ahad.

"Banjir ini memang kita dah jangka, cuma saya bersyukur sangat ketika berlaku banjir dan air mulai naik kami dapat tanganinya dengan baik, ramai yang membantu kerana semua sudah bersedia.

"Ketika itu saya memang duduk seorang diri, jadi bila air naik sahaja, ramai penduduk bantu dan mereka terus panggil saya keluar untuk pindah ke PPS,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di Kampung Mawai di sini mendapati keadaan di kawasan itu sudah mulai reda dengan cuaca panas dan air banjir yang semakin surut.

Bagaimanapun, terdapat beberapa jalan yang masih belum surut sepenuhnya menyebabkan sebahagian penduduk terpaksa ditempatkan di PPS SK Mawai di sini bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

PPS SK Mawai menempatkan seramai 105 mangsa melibatkan 36 keluarga yang terjejas setelah laluan utama memasuki perkampungan itu terpaksa ditutup kepada kenderaan ringan kerana masih dinaiki air.