KUANTAN - Polis berjaya menumpaskan Geng Abu Pandan dan Geng Jering Chini yang terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan dan samun di Pahang.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai sembilan lelaki berusia dari 22 hingga 52 tahun disyaki ahli dua geng itu diberkas.
"Geng Abu Pandan diketuai seorang lelaki berusia 29 tahun disyaki terlibat dalam kegiatan curi kenderaan di Kuantan sejak April tahun lalu. Lima anggota geng tersebut termasuk seorang lelaki yang bertindak sebagai pembeli ditahan antara 21 dan 28 Disember lalu.
"Hasil siasatan, suspek mengaku mencuri enam kereta dan dua lori dalam tempoh dari April hingga 22 Disember lalu. Modus operandi mereka menyasarkan kereta dan lori ditinggalkan di tepi jalan, di hadapan bengkel dan parkir awam. Selepas mengenal pasti sasaran, suspek memanggil rakan mereka yang memiliki trak tunda untuk menunda kenderaan curi itu ke bengkel untuk dileraikan. Bahagian kenderaan dan komponen yang dileraikan dijual kepada seorang lelaki yang juga pemilik sebuah kedai barang lusuh," katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Isnin.
Menurut Ramli, susulan penahanan anggota Geng Abu Pandan itu, polis merampas enam buah kereta dan dua lori, sebuah trak tunda, sebuah enjin lori dan 17 resit jualan besi kenderaan.
Tambah beliau, ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Sementara itu, empat lelaki berusia dari 28 hingga 35 tahun dipercayai anggota Geng Jering Chini yang terlibat dalam kegiatan samun dan curi kenderaan ditahan di sekitar Paloh Hinai dan Chini, Pekan dalam tempoh 26 hingga 30 Disember lalu.
"Hasil siasatan mendapati, suspek menjadikan pemilik kenderaan yang berhenti di tepi jalan dan penunggang motosikal sebagai sasaran.
"Suspek menggunakan pedang dan parang untuk menggertak mangsa sebelum menyamun barang berharga seperti barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai.
"Selain itu suspek mengaku terlibat mencuri motosikal yang diletakkan di tempat letak motosikal dan kereta yang ditinggalkan dalam keadaan enjin tidak dimatikan," katanya.
Tambah beliau, susulan penahanan suspek, pihaknya berjaya menemui dan merampas empat telefon bimbit, tiga kereta, barang kemas, parang dan sebilah pedang.
"Suspek kes ini juga didapati positif dadah jenis methamphetamine. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan 379A Kanun Keseksaan," katanya.
Ramli berkata, dalam tempoh Januari hingga November tahun lalu, sebanyak 71 kes kecurian kenderaan dilaporkan di Pahang dan daripada jumlah itu, 37 kes berjaya diselesaikan.
"Bagi kes samun, sebanyak 85 kes direkodkan di Pahang tahun lalu dan 46 kes berjaya diselesaikan," katanya.