TIDAK sampai 24 jam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan berita peletakan jawatan Tan Cheng Hoe, sudah mula timbul spekulasi pengganti pengendali skuad Harimau Malaya itu.
Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Brad Maloney yang baru ditawarkan kontrak baharu selama dua tahun dikatakan sebagai calon terbaik bagi menggantikan tempat Cheng Hoe.
Malah, nama pengendali KL City FC, Bojan Hodak yang sudah sinonim dengan bola sepak Malaysia turut disebut-sebut selaku antara prospek paling sesuai untuk mengemudi Harimau Malaya.
Bagaimanapun, FAM tampak masih belum bersedia menamakan pengendali baharu Harimau Malaya tatkala ada 'suara' yang meminta badan induk itu melantik jurulatih dari luar negara.
Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, sebarang keputusan berhubung perkara berkenaan tidak dapat diputuskan sehinggalah Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan berlangsung dalam masa terdekat.
"Mengenai Brad Maloney (sebagai pengganti Cheng Hoe) saya tak tahu. Sebab perkara ini pihak jawatankuasa yang akan putuskan. Kita pun tak tahu apa keputusan jawatankuasa nanti.
"Cuma, mesyuarat akan itu akan diadakan dalam masa terdekat kerana kita pun dah tak ada masa. Ini kerana dalam tempoh enam bulan, kita akan harungi Kelayakan Piala Asia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Berita peletakan jawatan Cheng Hoe pada Isnin menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan penyokong bola sepak negara yang sebelum ini mengaitkan nama Maloney dan Bojan sebagai pengendali baharu Harimau Malaya.
Mengulas peletakan jawatan Cheng Hoe yang telah berkhidmat bersama FAM selama 14 tahun, Mohd Saifuddin berkata, ia berkuat kuasa serta-merta mulai 1 Januari lalu.
"Ya... walaupun Cheng Hoe dah umumkan letak jawatan, tetapi pihak jawatankuasa akan tetap go through laporan yang dikemukakannya. Masa mesyuarat itu juga kita akan adakan sekali post mortem.
"Kita akan bincangkan perkara ini dalam masa terdekat kerana ia bukannya keputusan perseorangan tetapi keputusan jawatankuasa dan kemudiannya akan dibawa kepada pihak exco untuk pengesahan,” jelasnya.