PENGENDALI Manchester United, Ralf Rangnick menggesa anak buahnya segera memperbaiki cara mereka bermain selepas kalah 1-0 kepada Wolves di Old Trafford awal pagi tadi.
Malah jurulatih kelahiran Jerman itu turut mengakui, skuad kendalian Bruno Lage merupakan pasukan terbaik yang pernah dihadapi pasukannya sepanjang mengendalikan United.
"Kami tidak bermain dengan bagus, baik dari segi permainan individu atau berkumpulan.
Pada separuh masa pertama, masalah besar yang dihadapi oleh kami adalah menghalang mereka (Wolves) daripada menjaringkan gol.
"Anda boleh lihat ketika kami bolos, yang mana ramai pemain berada di dalam kotak ketika itu.
Walaupun hantaran silang Wolves berjaya dipertahankan oleh (Phil) Jones tetapi Moutinho boleh merembat tanpa sebarang masalah dan tekanan.
"Kami sangat kecewa dengan keputusan selain perlu mengakui mereka berhak untuk menang.
Wolves adalah pasukan terbaik yang pernah kami lawan," katanya.
Pada perlawanan tersebut, Wolves berjaya menamatkan permulaan tanpa kalah Ralf Rangnick sebagai pengurus sementara United, apabila jaringan tunggal Joao Moutinho memastikan kemenangan 1-0 di Old Trafford.
Kekalahan itu juga merupakan yang pertama buat The Red Devils di laman sendiri kepada Wolves dalam tempoh 42 tahun.
"Perlawanan ini menunjukkan kepada kami semua bahawa banyak lagi kerja perlu dilakukan.
Terlalu banyak kesalahan mudah dilakukan oleh pasukan.
"Saya tidak mahu bercakap tentang persembaban setiap individu kerana ia melibatkan keseluruhan pasukan.
"Jadi ia tidak masuk akal kalau saya hanya menyalahkan persembahan individu yang menjadi punca kekalahan ini," katanya.
Kekalahan tersebut menyaksikan United kini ketinggalan empat mata di belakang Arsenal yang berada di tangga keempat, dengan kelebihan satu perlawanan dan akan menentang Aston Villa pada 15 Januari ini.