PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte enggan melayan emosinya apabila kembali ke Stamford Bridge bagi berdepan Chelsea pada aksi separuh akhir Piala Liga pada Khamis.
Malah menurut Conte yang pernah mengemudi The Blues pada musim 2016 hingga 2018 lalu, tumpuannya kini hanyalah untuk memastikan Spurs mencatatkan kejayaan dan mara ke final Piala Liga kali ini.
"Tumpuan saya hanyalah untuk aksi separuh akhir berdepan Chelsea dan saya pasti berusaha untuk tidak terlalu beremosi apabila kembali beraksi di Stamford Bridge.
"Untuk itu, saya berazam untuk memberikan 100 peratus untuk kelab ini dan berusaha untuk mempertingkatkan pasukan ini dari semasa ke semasa,” katanya.
Untuk rekod, aksi separuh akhir berdepan Chelsea Khamis ini mengulangi aksi separuh akhir Piala Liga musim 2018/19 lalu yang menyaksikan skuad The Lilywhites itu tewas 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat 2-2 secara aggregat.
Dalam masa sama, Conte menyifatkan Spurs masih mempunyai banyak ruang untuk meningkat dan berkembang sebagai sebuah pasukan yang kuat.
Malah paling penting, mampu muncul selaku pasukan yang bersedia untuk memenangi piala-piala yang dipertandingkan.
Dalam masa sama, Conte turut menyifatkan skuad kendaliannya itu sebenarnya tidak bersedia untuk memenangi piala musim ini, berbanding pasukan lain.
Malah menurut Conte, menjelang aksi separuh akhir Piala Liga berdepan Chelsea pada Khamis, skuad The Blues itu dilihat lebih bersedia untuk menjulang piala musim ini.
"Bagi saya, semua pihak sering menekankan kepentingan untuk memenangi piala; samada untuk kelab, pemain atau pun pengurus masing-masing.
"Oleh itu, setiap pasukan perlu ‘membina’ pasukan yang terbaik bagi merealisasikan hasrat memenangi piala yang dikehendaki.
"Sebagai contoh, ketika ini saya melihat Chelsea lebih bersedia berbanding Spurs untuk memenangi piala dan sebagai contoh, mereka telah pun memenangi Liga Juara-Juara musim lalu,” katanya.