PEMAIN baharu Barcelona, Ferran Torres dan pemain tengah, Pedri dijangkiti wabak Covid-19 menjelang perlawanan pusingan 32 Copa del Rey menentang Linares Deportivo pada Rabu.
Perkara tersebut disahkan oleh kelab Catalan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal padi tadi.
"Kedua dua pemain Barcelona iaitu Pedri dan Ferran Torres disahkan positif Covid-19.
"Kedua-dua pemain dalam keadaan baik dan kini menjalani kuarantin di rumah masing-masing," kata Barcelona.
Pedri kini menyertai beberapa pemain Barcelona lain yang tidak dapat beraksi gara-gara dijangkiti Covid-19, manakala pemain baharu Ferran Torres belum lagi layak bermain bersama Blaugrana selepas belum didaftarkan dalam pasukan utama.
Dua kes positif terbaru itu, sudah pasti memberikan tamparan hebat kepada Xavi yang sebelum ini kehilangan beberapa pemain utama akibat Covid-19.
Meskipun dihimpit penularan virus tersebut, Barcelona masih mampu mencatatkan kemenangan 1-0 keatas Mallorca semalam.
Ia sekaligus membantu Barcelona untuk melonjak ke tangga kelima, 15 mata di belakang pendahulu Real Madrid.