PENJARING gol tunggal yang juga merupakan gol kemenangan Wolverhampton Wanderers ke atas Manchester United pada Selasa, Joao Moutinho menyifatkan kemenangan ke atas gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sebagai sesuatu yang menakjubkan.
Malah menurut pemain kebangsaan Portugal itu, kejayaan itu cukup membanggakan, apatah lagi ia berjaya dilakukan ketika beraksi di Old Trafford yang juga merupakan gelanggang ‘keramat’ buat skuad The Red Devils itu.
"Menang di Old Trafford adalah satu pencapaian yang menakjubkan buat kami.
Kami datang ke sini (Old Trafford) untuk bermain bola sepak dan itulah yang kami lakukan dan ia ternyata menghasilkan kejayaan.
"Selain itu, kami mencipta peluang yang banyak dan kami menguasai segala-galanya pada perlawanan ini sambil membiarkan mereka (United) hanya berjaya mencipta satu peluang untuk menjaringkan gol.
"Justeru, diharapkan agar kemenangan ini akan menjadikan pemain lebih bersemangat untuk beraksi dengan lebih baik dan seterusnya mencatatkan lebih banyak kejayaan pada perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, Moutinho memanfaatkan peluang hasil hasil tandukan pemain pertahanan United, Phil Jones yang cuba mengeluarkan bola sebelum merembat leret menewaskan David De Gea.
Kekalahan itu menyaksikan United terus berada pada kedudukan ketujuh EPL dengan 31 mata manakala Wolves meraih 28 mata pada kedudukan kelapan.
Sementara itu pengendali Wolves, Bruno Lage menegaskan kemenangan berkenaan terhasil daripada corak permainan yang diterapkan oleh kesebelasan pemain yang dilihat berjaya memerangkap United.
"Kami beraksi dengan cara kami sendiri. Hasilnya, kami menguasai separuh masa pertama selain turut mencipta peluang gol.
"Bagaimanapun, akhirnya kami berjaya meraih tiga mata selain mencipta lebih banyak peluang gol berbanding United,” katanya.