SEPANG - Hanya kira-kira 11,000 daripada sekitar 250,000 pemandu teksi dan e-hailing di seluruh negara mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak November tahun lalu.
Ketua Bahagian Skim Bencana Pekerjaan Sendiri Perkeso, Zainal Ismail berkata jumlah itu amat kecil walaupun mereka diwajibkan mendaftar serta membuat caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri menerusi Perkeso mulai 1 November tahun lepas.
Iklan
Iklan
"Sekiranya pemandu masih didapati tidak membuat caruman sehingga 12 Julai ini, mereka boleh dikenakan kompaun sebanyak RM4,000, selain hukuman lain oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat," katanya selepas menghadiri pelancaran Program Saringan Kesihatan (HSP) Tanpa Baucar Peringkat Kebangsaan dengan kerjasama Brahim's SATS Food Services Sdn Bhd di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa tiada pemandu teksi dan e-hailing yang terkecuali daripada arahan itu termasuk mereka yang menjalankan kerja berkenaan secara separuh masa.
Ditanya mengenai faktor yang menyebabkan pemandu masih kurang membuat caruman, Zainal berkata ia mungkin disebabkan golongan itu beranggapan mereka perlu membayar caruman untuk tempoh setahun secara sekali gus.
"Kita benarkan mereka untuk bayar secara bulanan mulai 1 Nov 2018 serendah RM13.10 sebulan atau RM157.20 setahun,” katanya.- Bernama
Artikel Berkaitan