KOTA BHARU - Seorang bapa yang juga penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen pada Selasa atas tuduhan mendera anak perempuannya yang berusia lapan tahun menggunakan sebatang kabel elektrik dalam satu kejadian, Disember lalu.
Tertuduh, 44, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh berdepan hukuman penjara tiga tahun mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh sebelum itu turut membuat rayuan supaya hukuman yang dikenakan terhadapnya dikurangkan memandangkan dia menyedari kelakukan berkenaan adalah salah dan sangat menyesali perbuatan tersebut selain berjanji tidak akan melakukannya lagi.
Mengikut fakta kes, tertuduh pada Disember tahun lalu di Kampung Sungai Kelong didakwa bertindak mengasari anak perempuannya kerana telefon bimbitnya mengalami masalah teknikal sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal di beberapa bahagian badan.
Bertindak daripada maklumat pengadu yang juga anak kepada tertuduh, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Pasir Puteh telah menahan tertuduh pada 29 Disember jam 5.20 pagi di rumah berkenaan.