KOTA BHARU - Bagi membalas jasa yang pernah dihulurkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan tampil dengan misi bantuan banjir 'Kita Saye Demo' ke Selangor bagi membantu mereka yang memerlukan.
Pengarah JBPM Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin berkata, misi berkenaan melibatkan Skuad Kebajikan JBPM Kelantan bersama 18 badan bukan kerajaaan (NGO) untuk meringankan bebanan mangsa yang terlibat dalam bencana itu.
"Misi ini sebagai balasan atas bantuan JBPM negeri lain termasuk Selangor yang turut turun padang membantu Kelantan ketika banjir 2014 lalu.
"Kali ini misi kita akan melibatkan 45 sukarelawan termasuk 10 pegawai dan anggota JBPM Kelantan selain kita juga menyampaikan sumbangan wang serta barangan keperluan asas," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Menurut beliau, NGO yang terbabit dalam misi itu antaranya ialah Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Gabungan NGO hadapan Kelantan (GOHEK) dan Team Amal Rakyat Bantu Rakyat (TARBYAT).
Beliau juga memberitahu, selain Selangor, misi ini juga melibatkan kawasan lain, namun perbincangan terperinci akan dilakukan bagi memastikan objektif dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
Dalam perkembangan sama, Jainal berkata, walaupun pihaknya ada yang bertugas untuk membantu mangsa di luar Kelantan, namun JBPM Kelantan sentiasa bersedia jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini di negeri ini.