Cuaca buruk MTL: Nelayan Vietnam tetap ceroboh perairan negara

Iklan
Kamaruszaman (tengah) menyaksikan simbolik penyerahan dokumen serah terima tugas antara Amran (kiri) dan Kamal Ariffin yang dilantik sebagai Pengarah Maritim Negeri Pahang yang baharu dalam satu majlis di sini pada Selasa.

KUANTAN - Keadaan cuaca buruk dan laut bergelora sepanjang musim Monsun Timur Laut bukan ancaman kepada bot nelayan Vietnam sebaliknya keadaan itu satu peluang kepada mereka untuk terus menceroboh dan mencuri hasil perikanan dalam perairan negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Maritim, Datuk Kamaruszaman Abu Hassan berkata, pihaknya mengesan kehadiran bot-bot nelayan asing tersebut malah ada yang berjaya ditahan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kegiatan itu dipercayai melibatkan beberapa bot yang dilengkapi kemudahan logistik termasuk bekalan minyak dalam jumlah besar.

"Mereka bersedia di kawasan perairan sempadan dan menceroboh masuk bila ada peluang lebih-lebih lagi ketika aset Maritim Malaysia tiada di kawasan berkenaan.

Iklan

"Justeru, kita sentiasa bersiap sedia dan terus menggerakkan aset untuk membuat rondaan dan pemantauan bagi menghalang bot-bot asing itu menceroboh perairan negara termasuk perairan negeri pantai timur," katanya pada sidang media sempena Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Malaysia Pahang di sini pada Selasa.

Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh dilantik sebagai Pengarah Maritim Malaysia Pahang menggantikan Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud yang bersara wajib.

Iklan

Kamaruszaman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan nelayan Vietnam itu mendapat maklumat tentang keberadaan aset maritim melalui nelayan negara itu yang bekerja di atas bot nelayan tempatan.

"Operasi rondaan dan operasi di laut juga akan terus diperkasakan melalui perolehan aset-aset baharu termasuk kapal peronda luar pantai (OPV) yang dijangka diterima pertengahan tahun ini.

"Melalui OPV itu, tugas rondaan akan lebih berkesan kerana ia mampu berada di laut sehingga empat minggu," katanya.

Tambah beliau, sebagai sokongan, Maritim Malaysia juga telah menerima 18 daripada 30 bot pemintas (bot perkasa) yang ditempah mengantikan bot kilat sedia ada," katanya.

"Sepanjang tahun lalu, Maritim Malaysia Pahang merekodkan 28 tangkapan atas pelbagai kesalahan termasuk pencerobohan bot nelayan asing, tangkapan dadah dan kesalahan domestik melibatkan bot nelayan tempatan.

"Dalam pelaksanaan tugas mencari dan menyelamat, sebanyak 29 kes direkodkan sepanjang tahun lalu melibatkan perairan Pahang, Kelantan dan Terengganu," katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia Pahang melalui Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTBD) Negeri Pahang bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah melaksanakan beberapa operasi bersepadu memerangi gejala dadah dalam kalangan komuniti nelayan.

"Dalam operasi itu, kita telah memeriksa 71 nelayan tempatan serta asing daripada 14 bot nelayan tempatan dan mendapati ada yang positif dadah," katanya.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya juga telah melaksanakan pelupusan enam bot nelayan asing yang dirampas dan dilucut hak.

"Bot berkenaan ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di dua lokasi di sekitar Pulau Susu Dara, Besut,Terengganu dan Pulau Tioman, Pahang.

"Sebanyak tujuh buah lagi bot lagi akan dilucutkan hak yang dirancang untuk dijadikan sebagai tukun tiruan," katanya.