KUALA LUMPUR - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menasihatkan penduduk di lima negeri iaitu Pahang, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka untuk berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa berikutan paras air sungai di beberapa kawasan berada pada tahap bahaya.
JPS dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan di Pahang, aras air Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan berada pada tahap bahaya dengan trend menaik manakala di Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera juga di tahap bahaya namun pada trend air menurun.
Iklan
Iklan
Sementara itu, di Selangor, Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam juga berada pada aras bahaya dengan trend air meningkat.
JPS turut memaklumkan di Johor, aras air Sungai Lenik di Ladang Chaah serta Sungai Segamat di Bandar Segamat, Segamat dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak berada pada aras bahaya dengan trend aras air menurun.
Bagi Negeri Sembilan, trend aras air Sungai Muar di Pekan Rompin, Jempol menurun namun tetap berada pada aras bahaya.
Pada masa sama, di Melaka, Sungai Kesang di Telok Rimba, Jasin berada pada aras bahaya namun tiada perubahan trend manakala Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah pula berada pada paras bahaya dengan trend air menaik.- Bernama