BUKIT MERTAJAM- Dua anak dan seorang menantu yang dipercayai mendera ibu mereka yang berusia 64 tahun sehingga warga emas itu cedera di seluruh badan, disahkan mengalami tekanan perasaan dan mempunyai masalah mental.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid hari ini berkata ia disahkan melalui rawatan psikiatrik yang dijalankan terhadap anak lelakinya yang berumur 32 tahun serta anak perempuan dan menantu perempuannya yang masing-masingnya berumur 35 dan 28 tahun itu.
Katanya pemeriksaan yang dibuat di Hospital Bukit Mertajam (HBM) itu turut mendapati ketiga-tiga individu itu tidak pernah ke hospital untuk menerima rawatan namun pemeriksaan awal doktor pakar mengesahkan mereka mempunyai masalah mental.
"Selain itu, ibu mereka juga turut dibawa untuk menjalani rawatan psikiatrik namun dia tidak memberikan kerjasama dan doktor memerlukan sedikit masa untuk mengetahui keadaan mentalnya,” katanya di sini hari ini.
Semalam, jiran keluarga itu menyelamatkan warga emas yang dipercayai didera oleh anak dan menantunya sendiri di Flat Sri Desa Wawasan, di sini.
Ketika diselamatkan, wanita itu mengalami kecederaan teruk di kepala dan seluruh anggota badan, namun dia yang juga dipercayai mempunyai masalah kemurungan, tidak mengaku dipukul oleh anaknya dan mendakwa dia terjatuh.
Nik Ros Azhan berkata siasatan awal mendapati warga emas itu didera sejak empat bulan lepas selepas tinggal bersama-sama dengan kedua-dua anak dan menantunya itu namun dia tidak pernah menceritakan perkara berkenaan kepada anak-anaknya yang lain.
Beliau berkata kedua-dua anak dan menantu warga emas itu tidak bekerja, dan hanya bergantung kepada wang bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya dua cucu warga emas itu yang masing-masing berumur enam dan 10 tahun yang tinggal bersama mereka di rumah itu kini diserahkan kepada saudara terdekat mereka untuk penjagaan sementara. - Bernama.
ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas nafi didera anak, menantu