KUANTAN - Isu pembalakan di kawasan Hutan Simpan Lentang, Bentong yang ditularkan kembali melalui sebuah akaun Facebook baru-baru ini adalah kawasan lesen pembersihan hutan berstatus tanah milik.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, video yang dipaparkan itu isu lama pada tahun 2020.
Menurutnya, aktiviti itu berlaku dalam tanah milik iaitu JPNP hanya memberikan kebenaran untuk pelesen mengeluarkan kayu menggunakan hutan simpan sebagai laluan.
"Bagaimanapun kebenaran mengeluarkan kayu dari tanah milik itu menggunakan hutan simpan sebagai laluan telah ditarik balik.
"Jadi, tiada isu kerana aktiviti pembalakan dalam kawasan Hutan Simpan Lentang tidak berlaku seperti yang didakwa," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Mohd Hizamri berkata, lesen pengeluaran balak melibatkan kawasan itu diluluskan pada 15 Oktober 2020 sebelum arahan menghentikan kerja sementara dikeluarkan kepada pelesen pada 30 Oktober tahun sama.
"JPNP mengambil keputusan untuk membatalkan lesen pengeluaran balak bagi kawasan ini setelah mengambil kira beberapa faktor," katanya.
Tambah beliau, isu ini juga pernah tular sebelum ini dan ia sudah pun dijelaskan namun ada pihak sengaja memuat naik video tersebut kembali.