SHAH ALAM - Gelang pengawasan pengesan digital, peranti e-Bracelet RFID (e-Bracelet) yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memantau pergerakan individu yang baru pulang dari luar negara didakwa tidak berkualiti.
Pelakon, Azad Jazmin berkata, beliau yang baru sahaja pulang menunaikan umrah pada Isnin diberikan gelang tersebut tetapi tidak sampai beberapa jam ia sudah tercabut.
Tambahnya, sekiranya ada pemakai yang tidak bertanggungjawab, pasti mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan menziarahi saudara-mara.
"Saya dan isteri diberi satu modem dan gelang selepas pulang daripada umrah, namun ketika saya duduk berehat gelang itu secara tiba-tiba tercabut.
"Saya pelik melihat gelang yang digunakan untuk memantau pergerakan ini boleh tercabut sebegitu saja.
"Jadi bayangkan kalau daripada 10,000 orang yang guna dan 10 peratus tidak bertanggungjawab, mereka letak gelang ini di rumah atau gantung pada leher kucing dan biarkan ia bergerak di rumah dan mereka keluar, jika ini berlaku pastinya membahayakan orang lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, Azad dalam video pendek berdurasi 45 saat yang dimuat naik di Instagramnya mendakwa, gelang bagi memantau pergerakan individu yang menjalani kuarantin di rumah yang dipakainya tercabut dalam tempoh 24 jam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga kini dia sudah menerima 10 mesej langsung (DM) di Instagram yang mendakwa mengalami perkara sama terjadi sepertinya.
"Bukan hanya setakat tercabut, malah ada yang memberitahu lampu pada gelang tersebut juga terpadam selepas beberapa hari dipakai,” ujarnya.