SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membidas dakwaan bahawa UMNO mahu ‘menghancurkan’ Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ekoran desakan agar kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 wang caruman sekali lagi.
Beliau sebaliknya mempersoalkan kembali siapa sebenarnya yang mahu ‘memusnahkan’ KWSP setelah membuktikan UMNO amat menjaga kepentingan badan tersebut ketika pemerintahannya.
"Pada tahun 2011 semasa saya PM (Perdana Menteri), syarikat Lebuhraya PLUS telah distruktur semula dan akhirnya menjadi 51 peratus milik Khazanah Malaysia dan 49 peratus milik KWSP - bukan milik pihak swasta lagi.
"Lepas itu, kerajaan BN bekukan sebarang kenaikan kadar tol bagi semua lebuhraya tol milik PLUS dengan membayar pampasan setiap tahun kepada pemilik PLUS - termasuk KWSP.
"Tapi masuk kerajaan PH (Pakatan Harapan) dan Menteri Kewayangan dorang (Menteri Kewangan era PH), mereka hapuskan pampasan tahunan dibayar kerajaan kepada KWSP bagi PLUS dengan memberi diskaun tol 18 peratus tapi melanjutkan tempoh konsesi tol 20 tahun lagi dari tahun 2038 hingga ke tahun 2058 biarpun janji mereka adalah hapuskan semua tol sebaik sahaja menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” kata Najib dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Beliau membuat hantaran tersebut dengan merujuk kepada laporan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mendakwa pemimpin Umno juga ‘hampir memusnahkan’ Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) kakitangan awam apabila RM4 bilion lesap setelah dipinjamkan kepada 1MDB.
Merujuk kepada dakwaan berkenaan, Najib juga menjelaskan, dana RM4 bilion SRC International Sdn Bhd (SRC) tidak ‘lesap’ seperti yang didakwa.
"KWAP juga tidak rugi satu sen pun daripada pinjaman RM4 bilion kepada SRC. KWAP juga tetap dibayar balik pokok dan faedah pinjaman tersebut.
"Dana RM4 bilion SRC juga tak lesap’. Seperti didedahkan dalam perbicaraan SRC, dana sebanyak AS$1.2 bilion SRC telah dibekukan di Switzerland dan Hong Kong setelah dipindah ke sana pada tahun 2012 semasa AS$1 = RM3.00 akibat orang Atok (Tun Dr Mahathir Mohamad) ke sana untuk membuat laporan.
"Jika dibawa balik sekarang, nilai tersebut sudah cecah RM5 bilion sebelum mengira faedah yang diterima semasa dibeku - iaitu lebih tinggi dari RM4 bilion yang dipinjam KWAP kepada SRC,”katanya.
Tambah beliau lagi, dana RM42 juta di mana beliau dijatuhkan hukuman sebenarnya dana yang diluluskan daripada keuntungan SRC untuk tujuan tangungjawab sosial korporat (CSR) yang dibayar kepada Ihsan Perdana yang dilantik SRC untuk melakukan CSR.
"Tetapi dana itu dipindah tanpa pengetahuan saya dan juga pengetahuan bos Ihsan Perdana kepada akaun atas nama saya dan turut dibelanjakan untuk CSR.
"Sekiranya ahli parlimen PKR ini ikhlas nak ‘selamatkan’ KWAP maka dia patut tuntut kerajaan untuk menjelaskan kenapa wang SRC yang dibeku masih tidak dituntut dan dibawa balik,” katanya.
Najib juga menjelaskan, KWAP tak pernah dimusnahkan bahkan nilai aset KWAP meningkat semasa tempoh beliau menjadi perdana menteri.
"Malah dalam tempoh saya PM, nilai aset KWAP naik dari RM52 bilion pada akhir tahun 2008 ke RM141 bilion pada tahun 2017 sebelum jatuh ke RM136 bilion pada tahun 2018 bawah kerajaan PH.
"Ya. Naik tiga kali ganda - bukan dimusnahkan. Namun ia tidak pernah dibawa balik oleh kerajaan PH dan kerajaan PN sebab bila dibawa balik maka tuduhan Najib curi wang pencen RM4 bilion akan terbongkar sebagai fitnah,” katanya.