RM5 juta lagi diperlukan MRA bantu mangsa banjir

Iklan
Foto Bernama (Gambar kecil: Khairil Annuar)

SHAH ALAM - Malaysia Relief Agency (MRA) memerlukan kira-kira RM5 juta lagi dalam misi membantu mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara.

Timbalan Presidennya, Khairil Annuar Khalid berkata, jumlah tersebut diperlukan memandangkan agensi itu memberikan bantuan secara berfasa bermula dengan bantuan kecemasan, pembersihan dan seterusnya pemulihan bagi pasca banjir.

Iklan
Iklan

"Sekarang ini bagi pihak MRA sendiri, kewangan kita memang memerlukan lebih banyak lagi. Tapi alhamdulillah kita ada dana yang cukup sekarang ini untuk meneruskan projek atau program operasi untuk mangsa banjir.

"Kita memerlukan anggaran RM4 juta hingga RM5 juta. Ini bagi mencapai sasaran lagi tiga bulan untuk membantu mangsa banjir.

Iklan

"Perlu lebih banyak dana sebab proses bantuan ini kita ambil untuk tiga bulan ke hadapan. Maksudnya, operasi kita bukan hanya dari segi bantuan kecemasan sahaja, tetapi juga untuk pemulihan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas mengenai bantuan berfasa, Khairul Annuar berkata, bagi fasa kecemasan, MRA membantu dengan memberikan barang-barang yang diperlukan bagi meneruskan kehidupan selain bantuan kesihatan.

Iklan

Bagi fasa kebersihan pula, jelasnya, bantuan peralatan kebersihan, barangan persekolahan, makanan kering, alat-alatan lain seperti toto, lampin, susu kanak-kanak dan sebagainya diberikan kepada mereka yang memerlukan.

"Fasa ini, ada tiga tempat yang kita fokus, rumah kediaman, sekolah atau tadika atau surau dan juga institusi,” ujarnya.

Tambahnya, bantuan fasa pemulihan pula, MRA akan memberi bantuan dari segi ekonomi selain membaiki barangan elektrik yang rosak dan sebagainya.

"Jadi, kita mohon agar rakyat Malaysia dapat membantu. Jangan risau, setiap sumbangan kita akan terus sampaikan kepada mereka yang memerlukan.

Jelas beliau, sehingga Isnin, anggaran sebanyak RM1.7 juta hingga RM2 juta telah dikeluarkan agensi tersebut bagi membantu kesemua mangsa yang terlibat di seluruh negara.

Dalam masa sama, selain masalah kewangan, Khairil Annuar berkata, kekurangan sukarelawan, kekurangan logistik dan juga wabak Covid-19 juga antara masalah yang dihadapi agensi itu untuk memberikan bantuan.

"Bagi sukarelawan, kita buat perancangan untuk hari esok berkenaan berapa sukarelawan yang diperlukan dan ada satu unit khas yang uruskan berkenaan perkara ini.

"Masalah logistik pula, kita memang ada masalah sekarang ini. Kita memang perlu selesaikan ini untuk kita gerakkan bantuan ke kawasan lapangan,” katanya.