Air pasang besar: 19 mangsa kekal di PPS

Iklan
Laporan Sinar Harian, Mohd Rosman

KUALA TERENGGANU – Seramai 19 penduduk di Kemaman yang dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan fenomena air pasang besar pada malam Isnin masih kekal berada di pusat berkenaan.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, semua mangsa dinasihatkan agar tidak pulang ke kediaman masing-masing berikutan risiko air pasang besar yang dijangka berlaku pada Selasa malam.

Iklan
Iklan

"Stesen cerapan di Kemaman menjangkakan air pasang besar di daerah itu berlaku pada malam ini mencecah 3.7 meter, sama seperti semalam. Jadi semua mangsa melibatkan lima keluarga ini dinasihatkan untuk terus kekal di PPS bagi mengelak sebarang risiko.

"Setakat ini, seramai 10 mangsa ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga manakala sembilan lagi berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Iklan

Mohd Rosman berkata, selain stesen Kemaman, Pusat Hidrografi Nasional turut meramalkan beberapa kawasan lain juga berisiko dilimpahi air pasang besar iaitu di stesen Chendering mencecah 3 meter manakala stesen Kertih setinggi 3.5 meter.

Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk yang tinggal berhampiran pesisir pantai dan muara sungai untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan persediaan awal.

Iklan

"Kita juga minta orang ramai supaya tidak mendekati pantai dan muara untuk melihat atau merakam fenomena air pasang besar ini bagi mengelak perkara tidak diingini.

"Pasukan keselamatan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri sentiasa bersiap bersedia dan rondaan akan dilakukan bagi menjamin keselamatan penduduk,” jelasnya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan beberapa kawasan yang terletak berhampiran pesisir pantai dan muara sungai di Kemaman dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku di daerah itu pada malam Isnin.

Susulan itu, dua PPS dibuka di daerah itu bagi menempatkan 19 penduduk kampung yang terjejas.