BEKAS pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe disifatkan sebagai seorang jurulatih yang ikhlas dan jujur selain mampu melaksanakan tugas dengan baik.
Perkara itu ditegaskan oleh bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal yang pernah bekerjasama dengan Cheng Hoe ketika beliau mengemudi skuad kebangsaan sebelum ini.
Malah, Rajagobal yang kini membimbing Brunei turut mengakui Cheng Hoe sebagai seorang jurulatih yang sentiasa menjalankan tugas dengan amanah.
"Sepanjang kerja dengan saya, beliau (Cheng Hoe) adalah jurulatih yang saya percayai kerana beliau seorang jurulatih yang ikhlas dan mampu melaksanakan tugas dengan baik.
"Pendek kata, apa sahaja tugas yang diberikan kepadanya, beliau akan buat dengan terbaik dan penuh amanah. Itu yang saya lihat sepanjang kami pernah bekerjasama.
"Beliau akan sentiasa ikut (patuh) dengan apa yang saya beritahu (arah). Beliau merupakan rakan sekerja yang baik, saya bertuah kerana pernah bekerjasama dengannya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum melepaskan jawatannya sebagai pengendali Harimau Malaya, Cheng Hoe pernah bertugas sebagai pembantu jurulatih kepada Rajagobal dan gandingan itu membawa Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan juara Piala AFF 2010.
Secara keseluruhan, Cheng Hoe sudah berkhidmat selama 14 tahun bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak bergelar penolong jurulatih skuad Bawah 20 (B-20) tahun pada 2005 dan sehingga 2013 sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya.
Kali terakhir Rajagobal bekerjasama dengan Cheng Hoe adalah ketika mengemudi skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia 2015 pada 2013.
Ketika ditanya adakah beliau bersedia untuk bekerjasama semula dengan Cheng Hoe, Rajagobal berkata, tiada yang mustahil dalam arena bola sepak.
"Bagi saya perkara itu mungkin boleh berlaku. Ada kemungkinan juga kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan,” jelasnya.
Pada masa sama, Rajagobal berkata, Cheng Hoe masih mempunyai masa depan yang cerah dalam meneruskan kariernya sebagai jurulatih.
"Beliau baru berusia 53 tahun dan masih mampu untuk membimbing mana-mana pasukan. Saya lihat, coach Tan masih ada masa yang panjang untuk karier beliau.
"Walaupun sudah berada dalam lingkungan usia 50-an tetapi beliau tetap dianggap muda dalam kejurulatihan. Masih ada masa untuk beliau laksanakan tugas sebagai jurulatih,” ujarnya.