KUALA NERUS - Aroma harum terhasil daripada buluh yang dibakar menggunakan arang menambahkan lagi keenakan adunan mi segera yang dimasak lebih-lebih lagi apabila dinikmati pada musim tengkujuh.
Idea kreatif seorang peniaga, Nur Shella Abdullah, 27 bersama suaminya, Wan Ahmad Faizul Wan Ahmad Azhar, 29 yang mengusahakan Megi Dapur Arang Jijo di Kampung Tok Jembal, di sini ternyata mampu menambat hati dan memikat selera penggemarnya.
"Makin lebat hujan makin ramai pelanggan yang datang. Cuaca sejuk mungkin menyebabkan ramai yang suka masakan panas-panas begini.
"Paling banyak setakat ini kami boleh sediakan dalam 720 bungkus mi segera dalam sehari. Kalau hari minggu pula boleh cecah sehingga 800 bungkus," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Nur Shella berkata, menu baharu mi segera yang dimasak di dalam buluh itu mula dijual di premis berkenaan sejak dua bulan lalu.
"Mi segera dalam buluh boleh dikatakan agak baharu dan mempunyai peminat tersendiri.
"Ada yang menganggap masakan di dalam buluh lebih istimewa kerana ia lebih berlemak berbanding hidangan yang dimasak menggunakan dapur arang biasa. Kebanyakan pelanggan teruja sebab tidak pernah jumpa lagi hidangan begini," katanya.
Menurut Nur Shella, mi segera yang dimasak secara biasa dengan menggunakan dapur arang telah dijual sejak premis itu beroperasi dua tahun lalu.
Katanya, selain mi segera dapur arang dan mi segera di dalam buluh, pasangan suami isteri itu turut menyediakan menu istimewa iaitu mi segera kelapa muda.
"Aroma daripada air kelapa lebih wangi dan rasanya juga lebih enak," katanya.
Sementara itu, Ahmad Faizul berkata, dia mendapat idea secara spontan selepas melihat buluh lemang yang lazimnya digunakan pada Hari Raya Aidilfitri.
"Saya tertarik dengan fungsi buluh yang mampu menghasilkan aroma yang lazat bagi setiap masakan. Jadi, dari situ saya berhasrat untuk mencuba sesuatu yang baharu.
"Banyak kali juga cuba untuk hasilkan mi segera yang dimasak di dalam buluh. Selepas beberapa kali percubaan, akhirnya kami berani perkenalkan mi segera buluh kepada pelanggan," katanya.
Menurut Ahmad Faizul, harga yang ditawarkan bagi setiap hidangan mi segera di dalam buluh berbeza berbanding dimasak menggunakan dapur arang biasa.
Katanya, setiap hidangan buluh dikenakan harga tambahan sebanyak RM6 bergantung kepada menu pilihan pelanggan sama ada mi segera biasa dengan telur, ayam, sotong, udang galah, udang kara, ketam, ikan tenggiri atau ikan yu.
"Selain stok buluh yang agak terhad, proses untuk memasak mi segera dalam buluh juga mengambil masa lama sekitar 20 hingga 25 minit untuk disiapkan.
"Jadi, mereka yang betul-betul sanggup tunggu sahaja yang kami sarankan untuk menikmati mi segera yang dimasak di dalam buluh. Alhamdulillah, setakat ini ramai yang gemarkan menu ini," katanya.
Premis yang beroperasi bermula jam 5 petang hingga 12 tengah malam itu mempunyai seramai 16 pekerja.