BUAT sekian kalinya, krisis politik terburuk di UK belum lagi bernoktah. Dalam undian semalam di Parlimen UK (House of Commons), menyaksikan Theresa May dan pasukannya mengalami kekalahan buat kali ketiga.
Undian dengan majoriti hanya 4 undi tersebut menolak langkah"no-deal” atau keluar EU tanpa sebarang kesepakatan. Keputusan undian Parlimen 312-308 tersebut bagaimanapun telah diadakan buat kali kedua dengan keputusan yang sama tetapi dengan majoriti yang lebih tinggi iaitu 43 undi (321-278).
Dengan keputusan itu, ia bermakna (majoriti Ahli Parlimen) UK tidak mahu keluar EU begitu saja. Mereka mahukan satu kesepakatan yang lebih baik (good deal). Keadaan ini rumit dan menggelisahkan ramai pihak, dengan berbaki hanya 16 hari lagi sebelum 29 Mac, tarikh rasmi Brexit (UK keluar dari EU).
Beberapa pilihan yang ada: UK terpaksa memohon EU melanjutkan tarikh Brexit atau memujuk meneruskan rundingan saat akhir. Bagaimanapun, pimpinan EU telah mengisyaratkan bahawa tidak akan ada peluang ketiga dan juga meminta UK menyelesaikan di Parlimen UK sendiri.
Kronologi utama 2019, pada 15 Januari lalu May dimalukan dengan kekalahan paling bersejarah dalam politik UK dengan majoriti 230 menolak"deal” yang dibuat May serta pasukannya dengan EU. Keputusan 432-202 tersebut jelas menunjukkan May telah hilang penyokong dan anggota partinya sendiri. Parti Konservatif mempunyai 314 anggota Parlimen, sebahagiannya menolak ketua mereka sendiri.
Pada 13 Mac lalu, kekalahan seterusnya menyaksikan undi majoriti 149 menolak"deal” yang kedua, hasil rundingan May dan pasukannya dengan EU. Keputusan 391-242 itu sekali menyedihkan May melalui ucapannya yang sayu akibat kehilangan suara".. I profoundly regret with the decision...”.
Ketua pembangkang, Jeremy Corbyn lalu bingkas bangun dan mengecam May dengan mengatakan rundingan May dan pasukannya telah pun"mati”. Corbyn juga mendesak pilihan raya umum diadakan ekoran defisit kepercayaan majoriti ahli parlimen tersebut.
Krisis politik yang memakan masa lebih dua tahun setengah tersebut amat menekan rakyat serta pemimpin politik UK. Siri rundingan dengan EU dilihat tidak berjaya memuaskan hati semua pihak dan akhirnya, menemui jalan buntu. Masa telah banyak dibazirkan, rakyat semakin berpecah serta ekonomi UK semakin membimbangkan.
Hakikatnya, May bukan hanya hilang suara setelah berhempas pulas untuk menjayakan hasrat referendum rakyat 2017 tersebut, malah beliau semakin kehilangan pengaruh, orang kanan, para penyokong termasuk menteri kabinetnya. Sarah Newton antara menteri yang meletakkan jawatan pada 13 Mac lalu. Begitu juga anggota Konservatif yang melawan arus dan tidak lagi bersama"kapten Marvel” mereka.
Ujian kepimpinan dan politik UK ini sedikit sebanyak telah membuka mata rakyat untuk peka terhadap kepentingan bersama menentukan masa depan dan negara, mengatasi kepentingan peribadi.
*Penulis ialah pelajar PhD dalam Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia, aktivis Gen Two Training Academy dan pengasas Euromates