LIGA Bola Sepak England (EFL) akan mempertimbangkan permohonan Liverpool untuk menunda aksi Carabao Cup menentang Arsenal pada awal pagi Jumaat.
The Reds sebelum ini membuat permohonan agar aksi separuh akhir pertama yang berlangsung di Emirates ditunda selepas peningkatan kes positif Covid-19 dalam pasukan mereka.
Difahamkan, Liverpool juga turut membatalkan sesi latihan pada Selasa sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan Covid-19.
"EFL telah menerima permintaan daripada Liverpool FC untuk menangguhkan perlawanan separuh akhir pertama Piala Carabao Khamis ini menentang Arsenal FC yang mana ia akan dipertimbangkan mengikut peraturan pertandingan seperti yang ditetapkan pada permulaan musim bersama maklumat yang dikemukakan oleh kelab tersebut.
"Kami akan membuat keputusan secepat mungkin apabila segala peraturan dan dokumen telah disemak sepenuhnya," kata wakil EFL.
Sebelum ini, sembilan pemain Liverpool terpaksa diketepikan apabila The Reds menentang Chelsea di Stamford Bridge disebabkan faktor kecederaan dan Covid-19.
Pengurus, Juergen Klopp bersama penjaga gol, Alisson Becker, penyerang Roberto Firmino dan pertahanan, Joel Matip antara individu yang disahkan positif Covid19 dan berkemungkinan besar kesemua mereka tidak akan dapat kembali sembuh sebelum Khamis.
Selain itu Liverpool juga akan kehilangan khidmat Mo Salah, Sadio Mane dan Naby Keita yang mana kesemua mereka sudah berlepas untuk menyertai Piala Negara-Negara Afrika.