SHAH ALAM - Lebih 200,000 individu menandatangani petisyen yang digerakkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) bagi menggesa kerajaan mengenakan moratorium atau pemberhentian segera terhadap sebarang aktiviti pembalakan buat masa ini.
Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, jumlah penandatangan itu mengabsahkan tuntutan dan kekhuatiran rakyat terhadap aktiviti pembalakan yang jelas memusnahkan alam serta mengakibatkan lebih banyak bencana kepada negara.
Menurutnya, ABIM menegaskan bencana yang berlaku di luar jangka ketika ini berkait rapat dengan situasi perubahan iklim yang berlaku.
"Perubahan iklim menyebabkan berlakunya ketidaktentuan cuaca seperti sekarang dengan keadaan ketidakbolehjangkaan berlakunya sesuatu musim mengikut masa kebiasaan.
"Situasi ini mengakibatkan ketidaktentuan waktu hujan turun dan kadar taburan hujan pada sesuatu masa.
"Ini menjadi penyebab berlaku banjir besar apabila kemudahan yang disediakan bagi membendung limpahan air tidak dapat berfungsi.
"Perubahan iklim yang melanda adalah akibat kerosakan dan kemusnahan alam yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab khususnya menerusi aktiviti pembalakan yang amat berleluasa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau yang juga Penyelaras Malaysian Interfaith Climate Change Network (MICCN) berkata, hutan adalah kaedah paling murah dan berkesan dalam menangani isu perubahan cuaca dan iklim.
Tambahnya, hutan amat berkesan dengan memerangkap karbon dioksida iaitu gas yang menjadi punca perubahan iklim.
"ABIM turut menyambut baik arahan yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bertarikh 3 Januari 2022 untuk menangguhkan sementara aktiviti pengusahasilan hutan dan pengangkutan kayu balak.
"Arahan ini seharusnya diikuti pihak berkuasa di negeri-negeri lain seluruh negara bagi memastikan usaha memelihara alam dapat dijayakan secara holistik dan berkesan,” ujarnya.