PENYERANG Chelsea, Romelu Lukaku tampil memohon maaf kepada kelab dan penyokong di atas tindakannya yang mengeluarkan kenyataan bahawa dirinya tidak gembira bersama The Blues di bawah kendalian Thomas Tuchel.
Sebelum ini penyerang kelahiran Belgium itu meluahkan perkara tersebut dalam satu temubual bersama Sky Sport Italia yang diterbitkan pada Khamis lalu.
Susulan tindakan yang dilakukan pemain berusia 28 tahun itu, Tuchel kemudiannya menggugurkan pemain tersebut pada perlawanan menentang Liverpool tempoh hari.
"Kepada semua penyokong, saya meminta maaf di atas kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.
"Kini menjadi tanggungjawab saya untuk mengembalikan kepercayaan anda semua. Jadi saya akan menunjukkan prestasi yang terbaik dan akan beri sepenuh komitmen setiap hari baik dalam latihan atau perlawanan selain akan memastikan kami menang perlawanan tersebut.
"Kepada pengurus, rakan sepasukan dan ahli majlis, saya mohon maaf, juga kerana saya rasa ia bukanlah masa yang sesuai. Saya mahu melupakannya dan akan beraksi sehabis baik untuk pasukan," kata Lukaku kepada laman sesawang Chelsea.
Mengulas mengenai temubual tersebut, Lukaku memberitahu dia langsung tidak berniat untuk tidak menghormati mana-mana pihak di Chelsea.
Jelasnya, temubual itu sebenarnya mengenai ucapan selamat tinggalnya kepada Inter Milan dan bukan sebaliknya.
"Secara jujur saya rasa saya sepatutnya lebih jelas dalam mesej tersebut.
"Temubual itu mengenai ucapan selamat tinggal kepada penyokong Inter, ia bukanlah berniat untuk tidak menghormati penyokong (Chelsea), kelab bola sepak, pemilik, rakan sepasukan, staf teknikal," katanya.