Mangsa banjir 'termenung' lega terima bantuan

Iklan
Mohd Sakeri (dua dari kanan) menerima sumbangan yang disampaikan oleh Mohamed Afandi (kiri) daripada POKB di Kampung Tersang, Rantau Panjang pada Rabu.

RANTAU PANJANG - Penduduk Kampung Tersang di sini yang terlibat dengan banjir termenung melahirkan kesyukuran apabila terdapat badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir bantu meringankan beban yang dialami mereka.

Hal ini kerana rata- rata penduduk di situ yang bekerja sebagai penoreh getah, berkebun dan buruh masih belum dapat bekerja seperti biasa ekoran kawasan kediaman mereka masih dilimpahi air.

Iklan
Iklan

Penduduk Kampung Tersang, Mohd Sakeri Che Wil, 43, berkata, sumbangan yang dihulurkan oleh NGO berupa makanan serta keperluan harian membantu meringankan beban mereka.

"Semenjak musim tengkujuh melanda Kelantan, sudah dua bulan lebih kami tidak dapat bekerja kerana kebun getah masih lagi dipenuhi dengan air banjir termenung.

Iklan

"Bukan itu sahaja, pergerakan kami juga terbatas apabila perlu menggunakan bot untuk bergerak," katanya ketika ditemui semasa menerima sumbangan yang disampaikan oleh Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) di Tersang pada Rabu.

Hadir menyampaikan sumbangan tersebut ialah, Timbalan Presiden POKB, Mohamed Afendi Hassan dan Timbalan Ketua Ahli, Nozlyhairani Suhana.

Iklan

Menurutnya, penduduk di situ berterima kasih kepada semua NGO yang sudi datang ke kawasan mereka dan menghulurkan sumbangan.

Katanya, dengan bantuan itu dapur mereka masih boleh berasap sementara menunggu air surut sepenuhnya dan dapat bekerja semula.

Sementara itu, Mohamed Afandi berkata, pihaknya terkesan melihat kesusahan yang ditimpa mangsa banjir di Rantau Panjang kerana mengikut dakwaan penduduk sudah empat kali dilanda banjir sepanjang musim tengkujuh ini.

"Kami dapati kebanyakan mereka bekerja sendiri, tiada kerja maka tiadalah gaji.

"Diharap dengan sumbangan makanan serta barangan keperluan ini dapat membantu penduduk meneruskan kelangsungan hidup sementara menunggu banjir pulih sepenuhnya," katanya.