KOTA BHARU - Empat rakyat negeri ini yang pulang dari Arab Saudi disahkan positif Covid-19 varian Omicron selepas pulang dari Arab Saudi.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kes tersebut melibatkan tiga individu yang tiba ke negara ini dari Arab Saudi pada 22 Disember dan seorang lagi 19 Disember lalu.
Menurutnya, tiga individu berada pada tahap kategori dua dan mempunyai gejala, manakala seorang lagi berada pada tahap kategori satu dan tidak mempunyai gejala.
"Kesemua individu ini sedang menjalani kuarantin seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan turut dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Dr Zaini berkata, semua individu yang baharu pulang dari luar negara dinasihatkan supaya terus menjalani kuarantin wajib dan mematuhi peraturan sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Langkah ini penting dalam usaha membendung penularan jangkitan varian Omicron kepada individu lain serta mencegah penularan dalam komuniti.
"Sekiranya mempunyai gejala Covid-19, individu terbabit dikehendaki terus melakukan ujian kendiri dan elakkan bercampur dengan individu lain termasuk ahli keluarga," katanya.
KKM pada Selasa menerusi Facebook Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan empat kes varian Omicron itu membabitkan rakyat dari Kelantan.