KUALA LUMPUR - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menasihatkan penduduk di beberapa kawasan di Pahang, Selangor, Johor, Melaka dan Sabah agar berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa berikutan paras air beberapa sungai berada pada tahap bahaya.
JPS dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, di Pahang, paras air Sungai Bera di Jambatan Sungai Bera serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan berada pada aras bahaya dengan trend menaik manakala Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera berada pada aras bahaya dengan trend menurun.
Iklan
Iklan
Sementara itu, di Selangor aras air di Sungai Bernam Rimba KDR di Sabak Bernam juga berada pada aras bahaya dengan trend menaik.
JPS turut memaklumkan, di Johor aras air Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak turut berada pada aras bahaya dengan trend menurun.
Bagi Melaka, aras air Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah berada pada aras bahaya dengan trend menaik manakala di Sabah aras air Sungai Padas di Beaufort JPS, Beaufort berada pada aras bahaya dengan tiada perubahan trend. - Bernama