Seorang dah ditahan, empat lagi diburu

Iklan
Polis masih mengesan penunggang lain yang terlibat dalam aktiviti tersebut. - Foto Facebook Dashcam Owners Malaysia

TELUK INTAN - Seorang lelaki ditahan polis selepas klip video memaparkan aksinya menunggang motosikal dengan aksi ala 'Superman' di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) di sini tular di media sosial.

Lelaki berusia 22 tahun itu ditahan di kediamannya di Teluk Intan sekitar jam 10.40 malam pada Isnin lepas.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, aksi berbahaya dalam rakaman berdurasi 24 saat itu telah dimuat naik di laman sosial Facebook Dashcam Owners Malaysia pada 2 Januari lalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lokasi aktiviti tersebut adalah di sekitar Kilometer 149 dari arah Plaza Tol Teluk Intan menghala ke Plaza Tol Hutan Melintang.

Iklan

"Bertindak atas maklumat, Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak telah berjaya mengesan seorang suspek lelaki yang terlibat dengan aktiviti tersebut.

Aksi seorang lelaki berusia 22 tahun yang menunggang motosikal aksi ala 'superman'. - Foto Facebook Dashcam Owners Malaysia

"Individu itu ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, berdasarkan video tular itu, terdapat lima individu termasuk suspek terlibat menunggang motosikal dengan melakukan aksi berbahaya.

Katanya, individu lain yang terdapat dalam video tular tersebut bukan sahaja berasal dari Teluk Intan, tetapi kawasan lain berhampiran Hutan Melintang dan Sabak Bernam.

"Polis masih mengesan penunggang motosikal yang lain.

"Tindakan mereka menunggang motosikal dalam keadaan menduga kelajuan sambil melakukan aksi ala 'Superman' bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi pengguna jalan raya yang lain," katanya.