Banjir di Segamat: Hanya mampu tengok bumbung rumah

Iklan
Keadaan rumah yang ditenggelami air di Kampung Chodan, Segamat pada Rabu. Gambar kecil: Mohd Norhasmi, Sidah

SEGAMAT - Hanya mampu menitiskan air mata, itulah luahan penduduk Kampung Chodan di sini apabila rumahnya ditenggelami air sehingga paras bumbung.

Iklan
Iklan

Rosimah Yahya, 39, berkata, dia tidak menyangka banjir kali ini begitu besar berbanding kali terakhir bencana itu berlaku kira-kira lima tahun lalu.

Menceritakan detik rumahnya dinaiki air, ibu kepada dua anak itu berkata, hujan lebat berterusan bermula Jumaat mengakibatkan air di Sungai Chodan naik mendadak dan melimpah ke kawasan penempatan penduduk.

Iklan

"Memang saya dan penduduk kampung tidak menduga banjir kali ini akan menjadi seteruk ini. Banjir sebelum ini pun tidaklah sampai nampak bumbung rumah sahaja.

"Air naik begitu cepat. Selepas hujan beberapa hari, air Sungai Chodan yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan kampung melimpah. Akibatnya rumah ditenggelami air sehingga paras bumbung rumah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Rabu.

Iklan

Seorang lagi penduduk, Shidah Sulong 78, berkata, dia berjaya menyelamatkan diri sebaik banjir berlaku pada petang Jumaat yang menenggelamkan rumahnya.

Rosimah memasak air di khemah sementara yang didirikan penduduk di Kampung Chodan, Segamat pada Rabu.

"Sedih bila tengok rumah ditenggelami bah sehingga nampak bumbung sahaja. Banyak perkakasan rumah yang musnah. Tapi saya bersyukur sebab cepat menyelamatkan diri sebaik air sungai naik mendadak,'' katanya.

Bagi seorang lagi mangsa, Mohd Norhasmi Ithnin, 35, dia dan penduduk lain reda dengan dugaan banjir kali ini.

Menurutnya, penduduk saling membantu dan sentiasa memberikan kata-kata semangat supaya tidak berputus asa dengan dugaan bencana kali ini.

"Penduduk saling membantu berkongsi apa yang ada termasuk pakaian dan makanan. Syukur banyak bantuan dan pertolongan diberikan kepada penduduk di sini," katanya.

Sementara itu, tinjauan menerusi bot di Kampung Condan dan sekitar Kampung Pogoh di sini mendapati kawasan berkenaan bertukar menjadi seperti lautan luas.

Beberapa rumah penduduk ditenggelami air sehingga kelihatan bumbung sahaja.

Penduduk turut mengambil inisiatif mendirikan khemah sebagai tempat berlindung dengan bantuan bekalan makanan dihantar oleh Pejabat Daerah Segamat.