Laluan dinaiki air, lebih 1,000 orang asli terputus hubungan

Iklan
Penduduk lima kampung di Mersing terputus hubungan berikutan laluan darat untuk ke kampung mereka dinaiki air. - Foto Bernama

MERSING - Lebih 1,000 masyarakat orang asli dari lima kampung di Daerah Mersing terputus hubungan berikutan laluan darat untuk ke kampung mereka dinaiki air akibat hujan berterusan beberapa hari lepas, menurut Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Pegawai Jakoa Daerah Mersing, Nor Faizzi Sulaiman berkata, laluan darat untuk masuk ke Kampung Peta, Kampung Punan dan Kampung Tewowoh dinaiki air setinggi 1.5 meter sejak Ahad lepas manakala laluan ke kampung orang asli Tanah Abang dan kampung orang asli Tanjung Tuan yang terputus pagi Selasa, digenangi air pada aras 0.3 meter.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat bekalan makanan selama seminggu untuk masyarakat di sana yang dibekalkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Mersing dan pengagihannya akan diuruskan oleh jawatankuasa kampung terlibat.

"Buat masa ini, komunikasi antara Jakoa dengan wakil penduduk adalah melalui kumpulan WhatsApp yang sentiasa digunakan untuk menyalurkan maklumat tiga kali sehari. Ketua atau wakil kampung-kampung yang terlibat akan membuat laporan dan menghantar gambar mengenai status terkini keadaan kampung masing-masing.

Iklan
Laluan darat untuk masuk ke lima kampung orang asli di Mersing tidak boleh dilalui. - Foto Bernama

"Sekiranya penduduk memerlukan bekalan ataupun menghadapi kecemasan (misalnya sakit), kita akan meminta bantuan daripada agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Rabu.

Nor Faizzi berkata, pihak Jakoa akan melaporkan segala maklumat atau kecemasan kepada pegawai zon yang telah dilantik, kemudian akan melaporkannya kepada bilik gerakan bencana daerah.

Iklan

Beliau menambah, kebiasaannya jika laluan darat tidak dapat dilalui, laluan sungai akan digunakan dengan bantuan pihak bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan APM.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan keadaan banjir yang berlaku termasuk lokasi berisiko.

"Kita berharap agar situasi segera pulih seperti sediakala namun pada masa sama bersyukur kerana keperluan asas mereka telah dihantar lebih awal sebelum bencana berlaku.

"Pasukan penyelamat seperti bomba, APM, ATM dan Pusat Kawalan Operasi Bencana telah digerakkan bagi membantu menyelamatkan serta membantu penduduk yang akan dipindahkan," katanya. - Bernama