KOTA TINGGI - Polis Daerah Kota Tinggi menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat yang tidak sahih berkaitan bencana banjir di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, perkara itu berikutan tular satu maklumat palsu di media sosial yang mendakwa bencana banjir di daerah ini sudah berada pada tahap kritikal.
"Polis Kota Tinggi telah mengesan satu penyebaran gambar dan video tidak sahih berkenaan kejadian banjir di daerah ini di aplikasi WhatsApp dan media sosial Facebook sejak beberapa hari lalu.
"Gambar dan video berkenaan adalah kejadian berlaku pada 2021, namun disebarkan seolah-olah ia berlaku pada ketika ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.
Hussin berkata, orang awam juga dinasihatkan supaya tidak mudah percaya selain menyalahgunakan sebarang maklumat yang tidak sahih untuk mengelakkan kegusaran masyarakat.
"Menjadi satu kesalahan kepada mana-mana individu yang didapati memuat naik kandungan palsu di dalam media sosial yang mana mereka ini boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Mereka ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.
Mengulas mengenai perkembangan terkini banjir di Kota Tinggi, beliau berkata, daerah ini merekodkan trend pemulihan apabila ketiga-tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sudah ditutup.
"Hari ini (5 Januari), semua PPS di Kota Tinggi iaitu di Sekolah Kebangsaan Mawai, Sekolah Kebangsaan Telok Ramunia, Pengerang telah ditutup dan semalam (Selasa), PPS Sekolah Kebangsaan Semanggar Dalam ditutup.
"Kesemua PPS ini menempatkan seramai 123 mangsa yang terjejas," katanya.