SHAH ALAM - Pasangan suami isteri dipercayai menularkan kemalangan membabitkan seorang pemandu lori yang terkena serangan jantung ketika memandu berdekatan sebuah kilang di Jalan BRP 8/2, Sungai Buloh pada Isnin tampil memohon maaf atas perkongsian video berkenaan.
Pasangan berkenaan melalui aplikasi TikTok @mubarakkhan1535 menafikan mereka merakam video kemalangan terbabit sebaliknya si suami mengakui hanya memuat naik video tersebut di akaun TikToknya selepas menerima video itu melalui aplikasi WhatsApp.
"Mengenai insiden video yang viral di TikTok, sebenarnya video tersebut dihantar dalam ‘WhatsApp group’, saya cuma muat naik sahaja.
"Saya tidak ada kena mengena dengan kemalangan tersebut dan kereta yang kena langgar itu pun bukan kereta saya. Boleh bandingkan suara isteri saya dengan suara dalam video itu. Memang tidak ada kena mengena.
"Video tersebut bukan saya seorang sahaja muat naik, ramai yang sudah kongsi tapi saya yang jadi mangsa keadaan,” katanya menerusi video yang dimuat naik dalam akaun TikToknya pada Selasa.
Isteri kepada pemilik akaun TikTok @mubarakkhan1535 itu turut meminta maaf kepada keluarga arwah pemandu lori berkenaan dan menegaskan beliau bukan pemilik suara dalam video terbabit.
"Bukan saya dalam video, itu suara perempuan lain. Kami sudah buat laporan di balai polis, tolonglah berhenti kecam kami.
"Kepada arwah keluarga terbabit, kami minta maaf banyak-banyak. Memang bukan salah kami, kami cuma kongsi video sahaja,” luahnya.
Baru-baru ini tular di media sosial video berdurasi 48 saat memaparkan seorang wanita memarahi dan menuduh pemandu lori berada dalam keadaan mabuk selepas melanggar tiga kenderaan yang diparkir di bahu jalan.
Bagaimanapun, salah seorang rakan mangsa dikenali sebagai Siva tampil menjelaskan rakannya itu terkena serangan jantung dan sudah meninggal dunia.
Susulan itu, ramai netizen yang tidak berpuas hati susulan wanita terbabit menuduh pemandu itu tanpa usul periksa sedangkan mangsa sedang menahan sakit di dadanya ketika itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar mengesahkan pemandu lori itu, Ahmad Sukri Abd Samad meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh (HSB) akibat serangan jantung pada hari yang sama.