Penternak ikan rugi puluhan ribu akibat banjir

Iklan
Pengusaha kolam ternakan ikan air tawar di Felda Palong Satu, terpaksa reda dengan kerugian puluhan ribu ringgit akibat bencana banjir baru-baru ini.

JEMPOL - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, demikian nasib yang menimpa beberapa pengusaha kolam ternakan ikan air tawar di Felda Palong Satu, di sini apabila terpaksa reda dengan kerugian puluhan ribu ringgit akibat bencana banjir baru-baru ini.

Seorang pengusaha, Ab Rahim Lembek tidak menjangkakan kejadian banjir besar yang berlaku pada malam tahun baharu itu menjejaskan kawasan rumahnya seluas lebih 0.4 hektar yang turut dilengkapi kolam ternakan ikan dan reban ayam serta itik peliharaannya.

Iklan
Iklan

Penternak berusia 73 tahun itu yang mempunyai 11 kolam ternakan berkata, sebanyak 13,200 ekor ikan ternakannya iaitu keli, tilapia dan baung dihanyutkan arus banjir deras.

"Selepas selesai bacaan Yasin di masjid, saya lihat air di dalam parit naik sikit sahaja. Jadi setibanya di rumah, saya bersama isteri, seorang anak perempuan dan cucu perempuan cepat-cepat pindahkan barangan dan dokumen penting ke tingkat atas.

Iklan

"Hujan mula lebat pada jam 11 malam kemudian air memasuki dan menenggelamkan bahagian bawah rumah. Paling memeranjatkan air mula naik setinggi dua meter. Jika kami tetap tinggal di tingkat bawah memang air itu sudah melebihi paras kepala," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Beliau berkata, ternakan yang diusahakannya sejak 2015 itu mengalami kerugian berpuluh ribu ringgit namun reda dengan kejadian itu dan hanya mampu bertawakal kepada ALLAH SWT.

Iklan

Menurut Ab Rahim, 150 ekor ayam kampung peliharaannya turut mati dalam kejadian banjir itu dan beliau menyifatkan banjir kali ini sebagai kedua terburuk selepas 2011.

"Semua ayam kampung di dalam reban mati...ternakan yang tinggal hanya 60 itik dan lima angsa kerana ketika itu haiwan ini melarikan diri ke atas bumbung dan pokok berhampiran," katanya.

Turut mengalami nasib sama penternak ikan keli, A Ghani Kolan yang kehilangan 10,000 ekor ikan peliharaannya yang terlepas keluar selepas enam kolam miliknya pecah akibat banjir.

Penternak berusia 80 tahun itu terpaksa menanggung kerugian lebih RM10,000 akibat kejadian itu.

Bagi penternak ikan air tawar, Zainuddin Hamzah, 73, pula beliau menanggung kerugian RM20,000 apabila 5,000 ekor ikan pelbagai jenis yang diternaknya termasuk baung, lampam dan tilapia merah dihanyutkan banjir dari sebuah kolam miliknya. - Bernama