Penganggur dipenjara 4 tahun rompak kedai serbaneka

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Padah merompak seorang juruwang wanita dengan bersenjatakan sebilah pisau di sebuah kedai serbaneka, seorang penganggur dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Cheong Seong Yoon, 55, selepas dia mengekalkan pengakuan bersalah pada tarikh jatuh hukum pada Rabu dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 14 Disember lepas.

Iklan
Iklan

Seong Yoon didakwa merompak Roziati Husni, 57, dengan melarikan 177 kotak rokok dan wang tunai RM147 di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sarjana Taman Connaught, Cheras, di sini pada 8.59 pagi, 20 November lepas, mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon hukuman setimpal manakala Seong Yoon yang tidak diwakili peguam merayu hukuman dilaksanakan dari tarikh tangkap.

Iklan

Berdasarkan fakta kes, tertuduh merompak mangsa di kedai tersebut dengan sebilah pisau sebelum menjual 20 daripada jumlah kotak rokok yang dicuri kepada seorang lelaki warga Bangladesh. - Bernama

Iklan