Warga asing menyamar jadi pengunjung elak ditahan

Iklan
13 PATI ditahan dalam serbuan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Menukar pakaian seragam dan menyamar sebagai pengunjung pusat beli-belah merupakan taktik digunakan pemandu parkir valvet warga asing ketika operasi dilakukan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, helah tersebut tidak berjaya dilakukan mereka ketika serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada Selasa.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan kira-kira jam 3 petang itu dilakukan pihaknya berikutan tamatnya program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) pada 31 Disember lalu.

Beliau berkata, seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang digajikan majikan tempatan diberkas hasil pemeriksaan terhadap 60 warga asing.

Iklan

"Operasi dijalankan di kawasan pusat perniagaan lot premis lima tingkat yang kebanyakan menggajikan warga asing sebagai pemandu parkir valet, pengawal keselamatan, tukang cuci dan jurujual.

"Semasa serbuan dilakukan, warga asing ini cuba bertindak pantas dengan menukar pakaian seragam yang dipakai untuk berlakon sebagai pengunjung bagi mengelakkan diri daripada ditahan pihak berkuasa, tetapi tidak berjaya," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Warga asing menjadi pemandu parkir valvet di sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, PATI tersebut dikesan melakukan kesalahan; antaranya menyalah gunakan pas, tinggal lebih masa dan tiada dokumen pengenalan diri.

Selain itu, katanya, seorang lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," jelas beliau.

Beliau sehubungan itu menggesa warga asing supaya mengambil kesempatan sertai Program Rekalibrasi Pulang PATI untuk pulang ke negara asal secara sukarela.