Nadma arah PKOB Sabah, Sarawak bersedia hadapi banjir

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) peringkat negeri dan daerah di Sarawak dan Sabah diarahkan bersiap siaga termasuk mengaktifkan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan arahan itu berikutan ramalan luruan monsun dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang berpotensi membawa hujan lebat berterusan.

Iklan
Iklan

Menurut agensi itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu memastikan ketersediaan stok bekalan pangkalan hadapan di Sabah dan Sarawak bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir.

"Sebagai sebahagian daripada kesiapsiagaan juga, PKOB Sarawak perlu menyelaras penyampaian makluman kepada penduduk di kawasan yang berisiko berlaku banjir agar mereka siap siaga jika berlakunya bencana,” demikian menurut Nadma dalam satu kenyataan, pada Rabu

Iklan

Ramalan cuaca signifikan bagi tempoh 6 hingga 12 Januari yang dikeluarkan MetMalaysia pada Rabu menyatakan kawasan penumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak mulai Ahad (9 Januari).

Jabatan itu menjelaskan keadaan tersebut boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan seterusnya mengakibatkan banjir terutama di bahagian tengah dan barat Sarawak, selain pada masa sama ribut petir masih boleh berlaku di seluruh negara pada pagi dan petang hingga malam.

Iklan

Setakat tengah hari Rabu, jumlah mangsa banjir di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun, manakala di Terengganu banjir pulih sepenuhnya dengan penutupan kesemua PPS di negeri itu.

Dalam pada itu, sehingga kini operasi banjir di seluruh negara melibatkan seramai 17,901 anggota agensi responder dan menggunakan 2,917 gabungan aset daripada pelbagai agensi.

Menurut Nadma, berdasarkan laporan bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) setakat 10 pagi tadi, sebanyak 50 lokasi jalan di negeri yang masih terjejas akibat bencana, sedang menjalani proses pembersihan.

"Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) pula melaporkan terdapat lima lagi kejadian tanah runtuh, iaitu tiga di Sabah sementara Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan masing-masing satu yang menjadikan jumlah kumulatif kejadian tanah runtuh berlaku di seluruh negara sepanjang tempoh Monsun Timur Laut kini sebanyak 250 kes,” katanya.

Bagi status operasi pembersihan pascabanjir oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sehingga Selasa, 90 peratus kawasan di Selangor yang terjejas banjir telah dibersihkan. - Bernama