Diugut ketika bertugas, anggota penguat kuasa MPKS lapor polis

Iklan
MPKS mengesahkan anggota penguat kuasanya membuat laporan polis selepas provokasi dicetuskan seorang individu semasa menjalankan tugas pemantauan kupon parkir di Saujana Utama pada Selasa.

KUALA SELANGOR - Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengesahkan anggota penguat kuasanya yang diugut dan dihalang menjalankan tugas pemantauan kupon parkir di Saujana Utama oleh seorang individu sudah membuat laporan polis pada Rabu.

Setiausahanya, Yusli Askandar berkata, laporan yang dibuat di Balai Polis Saujana Utama pada jam 9.49 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, MPKS kesal dengan tindakan seorang individu melakukan provokasi dan ancaman kepada seorang anggota penguat kuasa terbabit.

"Provokasi jam 9.45 pagi Selasa itu berlaku apabila individu berkenaan secara tiba-tiba menghampiri anggota penguat kuasa dan mengeluarkan kata-kata kesat serta ancaman.

Iklan

"Individu terbabit tidak berpuas hati apabila dikenakan kompaun atas kesalahan meletakkan motosikal di petak parkir orang kurang upaya (OKU)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Yusli berkata, MPKS merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada anggota penguat kuasa tersebut yang menjalankan tugas secara profesional dan tidak ambil peduli terhadap provokasi yang dihadapi semasa menjalankan tugas.

Iklan

"MPKS turut mengharapkan agar kejadian ini dijadikan sebagai iktibar dan jika mana-mana pihak yang disaman tidak berpuas hati dengan tindakan dikenakan, mereka boleh membuat aduan secara terus kepada MPKS," katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan tindakan seorang lelaki mengugut dan mengganggu tugas penguat kuasa MPKS tular di laman sosial Facebook pada Selasa.

Video berdurasi 0.59 saat itu menunjukkan lelaki terbabit melemparkan kata-kata berbaur ugutan dan cacian terhadap penguat kuasa berkenaan.