KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail didenda RM3,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan membuat kenyataan yang menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam berhubung pelarian Rohingya, dua tahun lepas.
Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Shamsubahrin, 56, selepas dia mengekalkan pengakuan bersalahnya pada tarikh jatuh hukum hari ini. Tertuduh membayar denda tersebut.
Rakaman video berdurasi 51 saat turut dimainkan semula di dalam mahkamah pada Rabu dan tertuduh mengakui yang dia membuat kenyataan tersebut.
Shamsubahrin didakwa secara sedar telah membuat kenyataan dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada orang awam pada 30 April 2020.
Pautan itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Aras 28, Menara KPJ, pada jam 12.30 tengah hari, 4 Mei 2020.
Pengasas Perkhidmatan Premium Big Blue Taxi itu dituduh mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang sebelum itu memohon hukuman setimpal manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum dengan alasan dia menghidap kanser dan pernah dijangkiti virus Covid-19.
"Saya hanya mewakili B40 kerana ramai pemandu teksi adalah B40, yang hanya bergantung pada bantuan kerajaan sahaja serta ia tidak mencukupi,” kata tertuduh.
Mengikut fakta kes, semasa pengadu (seorang anggota polis) melayari internet di pejabat JSJK Bukit Aman, beliau terlihat satu posting video telah dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Soleha Ali. - Bernama