Penduduk sekitar Sungai Muar diminta bersiap sedia: Bomba

Iklan
Penduduk di sekitar Sungai Muar di daerah ini diminta bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan susulan paras air sungai berkenaan kini berada pada tahap bahaya. Foto Bernama

SEGAMAT - Penduduk di sekitar Sungai Muar di daerah ini diminta bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan susulan paras air sungai berkenaan kini berada pada tahap bahaya.

Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penguasa Bomba Rasidi Md Yunos berkata, walaupun cuaca di daerah itu dilaporkan cerah, penduduk tetap perlu berhati-hati kerana dikhuatiri berlaku limpahan air Sungai Muar luar jangka.

Iklan
Iklan

"Sehingga kini banyak pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat masih dibuka kerana paras air Sungai Muar pada tahap bahaya dan jangan terperanjat jika ada kawasan sebelum ini tidak banjir, tiba-tiba rumah mereka dinaiki air.

"Air Sungai Muar akan turun dari hulu ke hilir (dengan arus deras) pada bila-bila masa. Sekarang, ia turun dari Negeri Sembilan ke Segamat dan akan ke Bukit Kepong, ke Kundang Hulu dan terus ke kuala,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengetuai misi menyampaikan bantuan makanan dan keperluan kepada penduduk Kampung Lubok Lanjut di sini pada Rabu dengan menaiki bot.

Iklan

Rasidi berkata, kawasan di sekitar kampung tersebut menjadi antara yang terawal ditenggelami air kerana ia berada berhampiran dengan hulu Sungai Muar.

"Punca atau hulu Sungai Muar adalah di Negeri Sembilan iaitu Jempol, Kuala Pilah, Gemas dan Tampin, sebelum masuk ke Segamat. Tanda aras kami di Segamat adalah kejadian banjir di Negeri Sembilan, jadi walaupun cuaca cerah di daerah ini, kami masih perlu berhati-hati,” katanya.

Iklan

Setakat ini, seramai 34 mangsa daripada tujuh keluarga di Kampung Lubok Lanjut terputus bekalan kerana laluan utama yang menghubungkan kampung itu dan dua kampung lain iaitu Kampung Mensudut Lama serta Kampung Batu 10, ditenggelami air.

Tinjauan Bernama bersama JBPM di Kampung Lubok Lanjut petang Rabu mendapati kampung tersebut seperti sebuah pulau apabila sekelilingnya ditenggelami banjir, namun kawasan rumah tidak dinaiki air.

Mengulas mengenai misi berkenaan, Rasidi berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menghulurkan bantuan makanan serta barang keperluan termasuk perubatan.

Sementara itu, seorang penduduk, Wahida Wahid, 47, yang ditemui di PPS Surau An Nur Kampung Lubok Lanjut berkata dia sangat bersyukur kerana mendapat bantuan daripada pihak bomba.

"Saya ada enam anak dan mengalami strok separuh badan, hendak ke mana-mana memang sukar. Terima kasih kepada pihak bomba kerana banyak membantu termasuk menyampaikan makanan dan ubat-ubatan untuk saya sekeluarga,” katanya.

Segamat terus mencatatkan mangsa tertinggi terjejas banjir di Johor dengan 3,340 orang daripada 905 keluarga masih ditempatkan di 42 PPS setakat pukul 4 petang Rabu. - Bernama