PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) menyambut baik keprihatinan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (ASTAF) selepas badan induk sepak takraw Asia itu membenarkan penggunaan khidmat pemain import dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22.
Lantaran itu menurut Naib Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan, pihaknya berharap keterbukaan ASTAF dalam isu tersebut akan membuka lebih ruang kepada kedua-dua belah pihak berunding di meja rundingan pada masa depan.
"Alhamdulillah, ASTAF dalam kenyataan pada hari ini memberikan kebenaran dan pelepasan pemain import dari Thailand untuk beraksi dalam saingan STL. Saya juga dimaklumkan para pemain import negara lain juga akan dibenarkan bermain STL pada kali ini.
"PSM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ASTAF di atas kebenaran ini dan berharap agar kerjasama erat di antara PSM dan ASTAF akan kembali bertaut demi kebaikan semua pihak khususnya demi komuniti sukan sepak takraw ini.
"Saya bersama rakan dalam PSM lain sekali lagi ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas jasa baik dan keprihatinan Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader dan Jawatankuasa Tertinggi ASTAF dalam membuat keputusan ini,” katanya pada Rabu.
Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) sebelum ini melarang empat pemain mereka, Swatbanchan Seekhwa (Johor Tigris), Aekasit Naphom (Penang Black Panthers), Anuwat Sombatdee (Perak Bison) dan Kupithat Khatmimalan (Bomba Fighters) daripada menyertai STL 2021/22 berikutan amaran dikeluarkan ASTAF.
Jelas Mohd Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PERSEWIP) memaklumkan PSM sebelum itu mengadakan perbincangan dengan ASTAF melalui Aplikasi Zoom Meeting pada 1 Januari lalu.
"Perbincangan turut disertai saya, pemangku Presiden PSM, Datuk Akramuddin Ab Aziz; Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh manakala ASTAF diwakili Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader di Singapura dan seorang wakil ASTAF.
"Perbincangan lebih terarah mengenai penganjuran STL 2021/22 yang akan berlangsung pada 7 Januari hingga 26 Mac di Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan berakhir di Johor.
"Dalam mesyuarat hampir dua jam itu, PSM juga merayu supaya pemain Import dari Thailand dan negara lain dibenarkan bermain selain memohon supaya pengadil ISTAF/ASTAF dibenarkan mengadili STL 2021/22,” katanya.