Fenomena 'air datang' sebabkan banjir di Kampung Parit Dahlan

Iklan
Kawasan rumah sekitar Kampung Parit Dahlan hampir tenggelam ketika tinjauan fotoBernama sekitar daerah Tangkak. - Foto Bernama

TANGKAK - Meskipun sudah dua hari Kampung Parit Dahlan dekat sini mengalami cuaca panas, banjir tetap melanda kampung itu ekoran limpahan air berikutan pertembungan Sungai Kesang dan Sungai Tangkak.

Menggambarkan fenomena limpahan air itu sebagai 'air datang', beberapa penduduk tidak menyangka rumah mereka boleh dinaiki air berikutan cuaca panas sejak semalam.

Iklan
Iklan

Warga emas Jainah Samingan, 71, berkata, dia bersama menantu dan tiga cucunya yang berada di dalam rumah terkejut apabila kawasan belakang rumahnya tiba-tiba dinaiki air sehingga 0.5 meter.

"Air mula naik sejak semalam di belakang rumah dan kami tidak lena tidur kerana bimbang air akan masuk dalam rumah seperti yang berlaku pada 2006," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya, di sini.

Iklan

Salina Zakaria, 45, yang mengalami nasib sama berkata, air mula memasuki kawasan rumahnya sejak petang Selasa.

"Kita anggap ini sebagai 'air datang' kerana banjir bukan disebabkan hujan tetapi limpahan air sungai berhampiran.

Kanak-kanak berusia empat tahun, Aifa tetap ceria bermain bersama kucingnya Jimmy walaupun kawasan sekitar rumahnya mula dinaiki air sehingga 0.5 meter ketika tinjauan Bernama. - Foto Bernama

Iklan

"Ketika banjir melanda kawasan berdekatan, kami sudah bersedia dan apabila dinaiki air seperti ini, kami hanya menunggu sebelum mengambil keputusan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara," katanya.

Sementara itu, Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Tangkak, Rafiah Aziz menasihatkan penduduk di daerah itu untuk terus berwaspada kerana ada kebarangkalian akan berlaku banjir walaupun cuaca panas dan tidak hujan.

Beliau berkata, meskipun paras air Sungai Tangkak sudah surut namun pertembungan aliran sungai itu dan Sungai Kesang telah menyebabkan banjir di kampung berkenaan.

"Tinjauan kita hari ini mendapati kira-kira 10 buah rumah dinaiki air dan kita bimbang trend air akan meningkat kerana pertembungan dua sungai ini, jadi kita harus berjaga-jaga," katanya yang mula bertugas di daerah itu sejak 2006. - Bernama