PEMAJU perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS), akan melancarkan 14 projek baharu tahun ini membabitkan kawasan Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak berjumlah 3,733 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.77 bilion.
LBS sebelum ini berjaya melepasi sasaran jualan RM1.2 bilion dengan jumlah jualan yang diraih pada penghujung tahun lepas sebanyak RM1.58 juta.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, secara keseluruhan, Lembah Klang menyumbang jualan tertinggi tahun lalu dan akan melancarkan 2,604 hartanah dengan jumlah GDV sebanyak RM1.11 bilion pada tahun ini.
"Khusus bagi perbandaran KITA @ Cybersouth, LBS akan melancarkan 2,128 unit hartanah dengan nilai GDV sebanyak RM853 juta bagi membangunkan pangsapuri servis KITA Sejati, rumah teres satu dan dua tingkat di KITA Bestari serta rumah bandar dua tingkat.
"LBS turut merancang melancarkan fasa baharu pangsapuri servis Melodi Perdana di perbandaran LBS Alam Perdana yang terdiri daripada 321 unit dan juga 155 unit Astella di D’Island Residence,” pada sesi taklimat Media LBS Bina 2022 di Plaza Seri Setia, di sini pada Rabu
Bagi kawasan lain katanya, projek baharu termasuk pangsapuri Bayu Hills di Genting Highlands (642 unit), rumah kluster satu tingkat di Taman Kinding Flora dan rumah teres di Chemor, Perak (248 unit) serta rumah teres satu tingkat, rumah Semi-D dua tingkat dan rumah teres dua tingkat di Bandar Putera Indah, Johor (239 unit).
Dalam pada itu, Hock San memberitahu, LBS mencatatkan prestasi memberangsangkan pada tahun 2021 walaupun ia merupakan tahun yang sukar bagi kebanyakan perniagaan.
"Bukan sahaja melepasi sasaran jualan hartanah sebanyak 31 peratus, tetapi kami juga berjaya menyerahkan milikan kosong sebanyak 2,570 unit dengan nilai RM1.3 bilion,” katanya.
Tambah beliau, LBS akan kekal mengadaptasi norma baharu di samping menerapkan pendigitalan dalam perniagaan serta bekerja keras untuk mencapai matlamat syarikat tersebut.
"Sebagai permulaan tahun ini, LBS melancarkan kempen ‘Bring Happiness Home’, yang bakal memberi ganjaran Angpau Tahun Baharu Cina hampir RM439,000 kepada pembeli rumah bermula 1 Januari hingga 28 Februari 2022.
"Di bawah kempen ini juga, kami menawarkan pakej perabot, yuran tempahan yang rendah, ganjaran kesetiaan dan skim pembayaran flexi selain mengenepikan yuran guaman dan duti setem ke atas perjanjian pinjaman,” katanya.
Sebagai pemaju rakyat, pihaknya juga akan terus menyokong inisiatif perumahan kerajaan dan berharap pembeli rumah terdorong memiliki rumah seiring dengan usaha LBS.