Penduduk Kampung Seberang Batu Badak beli bot hadapi banjir

Iklan
Papan tanda Kampung Seberang Batu Badak yang hampir ditenggelami air setinggi 14 kaki akibat banjir di Kampung Seberang Batu Badak.- Foto Bernama

SEGAMAT - Sediakan payung sebelum hujan, peribahasa itu menjadi pegangan hampir rata-rata penduduk Kampung Batu Badak, di sini yang menyediakan bot fiber di kediaman masing-masing bagi menghadapi kejadian banjir yang berlaku saban tahun.

Ternyata pelaburan penduduk kampung yang menempatkan lebih 30 keluarga itu tidak sia-sia, bahkan mampu menyelamatkan harta benda dan nyawa keluarga tersayang.

Iklan
Iklan

Bagi Mohammad Yahaya, 49, bot fiber dan enjin yang dibeli sejak beberapa tahun lalu itu adalah hasil titik peluh bekerja sebagai penoreh getah bagi memudahkan kerja-kerja memindahkan kira-kira 12 ahli keluarganya ketika banjir.

Menurutnya, bot dan enjin yang bernilai lebih RM8,000 itu banyak membantu mereka sekeluarga dan penduduk setempat untuk keluar dari kawasan yang tenggelami banjir dan berteduh ke kawasan yang lebih tinggi.

Iklan

"Kawasan ini berhampiran dengan Sungai Muar iaitu kira-kira satu kilometer dari penempatan kami, jadi apabila paras air sungai ini naik, pasti rumah kami dinaiki air.

"Walaupun kebanyakan rumah di sini dibina lebih daripada 14 kaki (4.26 meter) tetapi, ia masih dinaiki air dan kami anggap ini perkara biasa kerana rumah dekat dengan sungai," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Iklan

Mohammad berkata, kejadian banjir besar yang dialaminya pada 2006 dan 2011 adalah lebih teruk berbanding kali ini apabila rumah penduduk di kawasan itu ditenggelami air sehingga bumbung rumah tidak kelihatan.

Jelasnya, air di kawasan tersebut akan mengambil masa lama untuk surut dan boleh mencecah sehingga sebulan untuk kembali seperti biasa.

Tinjauan Bernama di kampung tersebut mendapati kawasan kediaman masih ditenggelami air dengan penduduk meletakkan bot fiber mereka berhampiran jambatan Seberang Batu Badak, Segamat.

Beberapa penduduk kampung membina khemah di jalan tersebut bagi memastikan bot berkenaan tidak dicuri atau hanyut dibawa arus air. - Bernama