KOTA ISKANDAR - Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meluluskan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1985 (Pindaan) 2021 dengan undian sebulat suara.
Kelulusan itu menyaksikan Johor menjadi salah satu lagi negeri yang telah menurunkan had umur seseorang warganegara untuk layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Pindaan terhadap Fasal 16 Bahagian 2, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 itu diluluskan pada sesi Mesyuarat Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-14 di Kota Iskandar di sini, pada Rabu.
Enakmen itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga dan perbahasan empat ADUN melibatkan Hahasrin Hashim (BN-Panti); K Raven Kumar (BN-Tenggaroh); Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) dan Muhammad Taqiuddin Cheman (PH-Pulai Sebatang).
Hahasrin Hashim (BN-Panti) berkata, pelaksanaan Undi 18 itu merupakan langkah terbaik bagi memelihara kesuburan amalan demokrasi dalam kalangan golongan muda di negara ini.
Katanya, malah perkara itu juga adalah sesuatu yang baik kerana Malaysia juga dilihat sudah berani untuk senada bersama negara-negara maju yang sudah mengamalkan kaedah pengundian bermula 18 tahun.
"Amalan demokrasi negara ini bukan perkara asing malah ia juga telah diterapkan sebelum merdeka dan beberapa siri Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini. Demokrasi ini juga adalah medan bagi memberi peluang dan hak kepada rakyat untuk terlibat sebagai calon atau pengundi dalam pilihan raya.
"Dengan enakmen ini, kita juga telah mengikuti jejak beberapa negara maju seperti United Kingdom (UK), Jerman dan Kanada yang sudah mengamalkan perinsip ini sejak lama dahulu.
"Semestinya dengan peluang yang ada, golongan ini (individu 18 tahun) sudah matang dan boleh memilih pemimpin mereka, jadi ini satu perkembangan yang baik untuk negara kita di masa hadapan," katanya dalam ucapan perbahasannya di sini pada Khamis.
Sementara itu, Muhammad Taqiuddin Cheman (PH-Pulai Sebatang) berkata, kemasukan undi baharu dengan golongan yang lebih muda ini akan memberi kesan besar kepada politik pengundian negara.
"Ia akan menjadi perkara baharu dalam politik negara, dalam segmen pengundi muda ini tidak dinafikan ia juga akan memberi kesan atau pun manfaatnya.
"Tetapi paling utama kita akan melihat satu perubahan baharu dan mungkin usaha dilakukan ini menyaksikan kita boleh melahirkan pemimpin muda berkaliber seawal usia 18 tahun," katanya.
Sebelum ini, pada 16 Julai 2019, 211 daripada 222 orang ahli Dewan Rakyat mengundi pindaan itu bersamaan dengan 95 peratus sokongan daripada jumlah keseluruhan.
Pada 25 Julai pula, 47 daripada 67 orang ahli Dewan Negara hadir untuk mengundi bersamaan dengan 70.14 peratus.