ISKANDAR PUTERI - Pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang membenarkan had umur menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada 18 tahun perlu dilihat secara holistik dalam pemberdayaan golongan muda.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (BN-Benut) berkata, perkara itu adalah sebagai usaha untuk mewujudkan nafas baharu serta memberikan kemeriahan dalam pentas demokrasi negara khususnya di negeri Johor.
"Keseluruhannya, pindaan kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan 1895, Bahagian Kedua, Fasal 16 berkaitan had umur kelayakan ADUN Johor ini merupakan salah satu daripada pelbagai lagi inisiatif pemberdayaan orang muda Johor.
"Pemberdayaan orang muda Johor tidak harus tertumpu semata-mata pada aspek pendemokrasian tetapi ia harus lebih holistik merangkumi pemberdayaan ekonomi, pemberdayaan intelek dan semangat kesukarelawanan dengan tersusun dan secara terus-terusan.
"Semestinya usaha ini juga haruslah berjalan seiring dengan tanggungjawab untuk memilih atau menjadi wakil rakyat seawal umur 18 tahun dan jika ini berlaku kerajaan negeri membayangkan demokrasi kita akan menjadi lebih sihat dan progresif," katanya ketika membentangkan usul pindaan enakmen itu pada Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Keempat Dewan Negeri Johor kali ke-14 di sini pada Khamis.
Pada mesyuarat berkenaan, undian bagi meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 itu mendapat kelulusan sebulat suara selepas bacaan kali ketiga.
Hasni berkata, pihaknya berharap isu berkaitan pindaan had umur wakil rakyat yang diturunkan kepada 18 tahun ini tidak perlu dipanjangkan lagi sebaliknya melihatnya daripada sudut yang lebih positif untuk masa akan datang.
"Ada yang berhujah dengan pelbagai hujahan, antaranya benarkah mereka yang berumur 18 tahun sudah cukup matang untuk mengundi wakil rakyat mereka. Tidak perlu kita bergelumang dalam perbalahan mengenai kematangan.
"Ia adalah satu yang subjektif dan perbahasan yang tidak berkesudahan. Seharusnya kita melihat pindaan ini secara holistik, memfokuskan kepada pemberdayaan kepada golongan muda," katanya.
Beliau berkata, sesungguhnya komitmen kerajaan Johor dalam memberdaya golongan muda juga tidak harus dipersoalkan memandangkan pelbagai inisiatif kepada golongan ini telah banyak dirangka dan diumumkan.
"Menerusi Belanjawan Johor 2021, agenda orang muda Johor atau OMJ telah dijenamakan bagi memberi identiti kepada inisaitif yang direncanakan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM38.8 juta. Bagi Belanjawan Johor 2022 pula, agenda orang muda Johor diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM38.5 juta.
"Secara kumulatif, sejak tahun lalu, kerajaan negeri Johor telah membelanjakan sebanyak RM77.3 juta sama ada dalam bentuk pembinaan infrastruktur pro-belia mahupun sokongan kepada inisiatif kepimpinan belia," katanya.