KUANTAN - Polis menumpaskan sindiket edar dadah jenis heroin dan syabu di Temerloh dengan tertangkapnya empat individu di tiga lokasi berasingan pada 2 dan 3 Januari lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penahanan itu membabitkan sepasang suami isteri dan pasangan kekasih dengan nilai rampasan dadah berjumlah RM402,411.
Menurutnya, dalam serbuan pertama, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Temerloh menahan pasangan kekasih berumur 35 dan 41 tahun yang berada dalam bilik sewa di Taman Dahlia, Temerloh pada jam 11 malam, 2 Januari lalu.
"Kami berjaya merampas sembilan paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki heroin seberat 60.67 gram dan enam paket lut sinar disyaki dadah jenis syabu 7.76 gram.
"Dua suspek itu positif dadah dan masing-masing mempunyai lima dan tujuh rekod lampau berkaitan dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, pada Khamis.
Ramli memaklumkan, susulan penahanan pasangan itu, pihaknya melakukan serbuan kedua di lokasi sama dan menahan pasangan suami isteri berumur 35 dan 36 tahun pada jam 12.15 tengah malam, 3 Januari lalu.
Tambahnya, polis menemukan dua paket plastik lut sinar disyaki dadah jenis heroin seberat 41.01 gram dan satu paket plastik lutsinar jenis syabu seberat 25.85 gram bersama pasangan itu.
Ramli memberitahu, hasil ujian saringan awal terhadap kedua-dua suspek tersebut negatif dadah tetapi masing-masing mempunyai satu dan dua rekod berkaitan dadah.
Sementara itu, beliau berkata, salah seorang daripada empat suspek membawa polis ke sebuah rumah di Jalan Batu 6, Temerloh dan menemukan rampasan dadah lebih banyak.
Katanya, rampasan itu membabitkan dadah jenis syabu seberat 1,068.79 gram, 29 paket dadah jenis syabu seberat 729.28 gram dan 17 paket plastik lutsinar jenis heroin seberat 129.18 gram.
"Pihak polis turut menemui satu beg kain berzip berwarna hitam mengandungi dadah jenis heroin seberat 2,350.18 gram dan 10 papan pil erimin seberat 26.99 gram, tiga paket heroin seberat 1,359.25 gram dan syabu seberat 658.40 gram serta 53 jenis barang kemas dan wang tunai RM24,000 dan selaras senapang patah tanpa peluru.
"Bagi kes senapang patah, kes ini disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan jika sabit kesalahan akan dipenjara lebih melebihi satu tahun penjara atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.
Ramli memaklumkan, jumlah nilai keseluruhan rampasan dadah dan harta ialah RM792,058 dengan dadah jenis syabu, heroin dan erimin berjumlah RM402,411 manakala nilai sitaan harta melibatkan RM389,647.50 termasuk wang tunai RM24,000, akaun bank (RM77,647.50), barang kemas (RM160,000), sebuah pacuan empat roda (RM120,000) serta sebuah motosikal (RM8,000).
"Mereka direman tujuh hari bermula 3 Januari lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," katanya.
Sementara itu, mengenai perolehan bekalan dadah, Ramli memaklumkan, sindiket itu dipercayai memperoleh bekalan dadah jenis heroin dan syabu dari Lembah Klang untuk diedarkan ke kawasan Felda di sekitar Temerloh.
"Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warganegara tempatan. Berdasarkan analisa kadar penggunaan dadah jenis heroin seberat 3,879.62 gram boleh dibekalkan kepada 7,760 penagih manakala syabu seberat 2,482.32 gram pula boleh dibekalkan kepada 4,964 penagih dalam sehari," katanya.