PUTRAJAYA - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan maklumat tangkap layar mengenai butiran peribadi dan status vaksinasi Covid-19 dirinya yang kononnya disemak melalui laman web vaksin Covid.
Menerusi laman Facebooknya, tangkap layar tular itu merupakan status janji temu Khairy yang memaparkan sebagai sedang diproses sementara butiran lain seperti lokasi pusat vaksin, tarikh dan masa janji temu tidak dinyatakan.
"Untuk rekod, saya telah pun mendapat suntikan dos pertama vaksin CoronaVac pada 18 Mac 2021 dan merupakan individu pertama di Malaysia yang menerima vaksin keluaran Sinovac tersebut," katanya.
Malahan ujarnya, prosedur itu turut disiarkan secara langsung di saluran televisyen.
"Saya juga telah menunjukkan paparan MySejahtera saya selepas menerima vaksin tersebut.
Sesiapa belum menonton siaran langsung tersebut, boleh tonton di pautan https://youtu.be/EtyaZ-BaPb8," katanya.
Jelasnya, suntikan dos kedua telah diterimanya pada 8 April 2021.
"Saya juga sudah menerima suntikan dos penggalak vaksin Comirnaty keluaran Pfizer pada September lalu sebelum berlepas ke Himeji, Jepun bagi Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WPRCM) Ke-72," katanya.
Menurutnya, laman web https://www.vaksincovid.gov.my/semak-status/ diwujudkan pada peringkat awal pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi memudahkan urusan semakan kepada orang awam.
Walau bagaimanapun, selepas kadar vaksinasi populasi dewasa mencapai 90 peratus pada bulan Oktober 2021, laman web tersebut tidak lagi aktif atau dikemas kini.
"Saya minta orang ramai untuk tidak terpengaruh dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menidakkan usaha vaksinasi negara," katanya.