Jumlah mangsa banjir di beberapa negeri menurun setakat tengah hari

Iklan
Gambar hiasan - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara di beberapa negeri yang terjejas terus menunjukkan trend penurunan tengah hari ini.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir terus berkurangan tengah hari ini apabila Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan seramai 1,171 orang ditempatkan di pusat pemindahan berbanding 1,369 individu pagi tadi.

Iklan
Iklan

Kesemua mangsa daripada 322 keluarga itu ditempatkan di 30 PPS di daerah Bera, Rompin, Pekan, Maran dan Temerloh.

Selain itu, beberapa jalan masih ditutup antaranya Jalan Bohor Baru dan Jalan Kemayan-Tembangau di Bera, Jalan Ibam-Kampung Aur dan Jalan Kampung Lubuk Batu (Rompin), Jalan Teluk Ganchong Lepar (Pekan) manakala di Maran melibatkan Jalan Serengkam dan Jalan Pekan Sehari Kampung Awah.

Iklan

Di Negeri Sembilan, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan mangsa banjir menurun kepada 472 individu membabitkan 113 keluarga dengan empat PPS dibuka setakat tengah hari berbanding 506 individu (124 keluarga) pagi Khamis.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir turut menurun kepada 451 orang daripada 123 keluarga pada pukul 12 tengah hari ini berbanding 466 orang daripada 128 keluarga pada pukul 8 pagi tadi.

Iklan

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 14 kawasan di Jasin.

Di Johor, mangsa banjir menurun kepada 4,098 orang setakat 12 tengah hari ini berbanding 4,449 orang pagi tadi dengan enam pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata penutupan lima PPS di daerah Mersing dan satu PPS yang terakhir di Kluang menjadikan banjir kini hanya melibatkan lima daerah.

Setakat ini di Segamat sebanyak 37 PPS masih beroperasi, Tangkak (18), Muar (lapan), manakala Mersing dan Batu Pahat masing-masing satu.

"Segamat kekal jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 2,532, Tangkak (874), Muar (620), Batu Pahat (53) dan Mersing (19),” katanya menerusi kenyataan.

Di Sabah, empat lagi pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup iaitu di Pitas dan kesemua 330 mangsa banjir daripada 129 keluarga telah dibenarkan pulang pada 12.30 tengah hari tadi.

Setakat tengah hari Khamis, seramai 3,417 mangsa daripada 1,224 keluarga masih ditempatkan di 23 PPS yang masih beroperasi di empat daerah yang masih terjejas banjir terletak di utara dan pantai timur negeri itu.

Kota Marudu merekodkan mangsa banjir paling ramai dipindahkan dengan 3,136 mangsa daripada 1,161 keluarga di 14 PPS; diikuti Telupid (183 mangsa, 46 keluarga, enam PPS); Paitan (54 mangsa, 10 keluarga, dua PPS); dan Sandakan (45 mangsa, tujuh keluarga, satu PPS).

Di Selangor, Info Bencana JKM memaklumkan tiada PPS yang aktif.

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam kekal ditahap bahaya iaitu pada paras 3.05 meter, manakala Sungai Langat di Bukit Changgang (3.7 meter) dan di JPS Sungai Manggis (2.23 meter) di Kuala Langat di tahap waspada setakat 11.15 pagi Khamis

Sementara Sungai Tengi di Pekan Tanjong Karang, Kuala Selangor (0.35 meter) yang berada di tahap waspada pagi tadi, kembali normal. - Bernama