PENYANYI Sufi Rashid kembali menghangatkan industri muzik tanah air apabila tampil dengan buah tangan terbaharu, Implikasi yang telah pun dilancarkan pada 15 Februari lalu.
Selepas single ketiganya iaitu Aku Sendiri menerima sambutan yang agak memberangsangkan, Sufi terus yakin dan bersemangat untuk terus melangkah dengan single Implikasi yang diharapkan mendapat kejayaan yang serupa.
Apatah lagi single kali ini tampil dengan kekuatan yang tersendiri, malah mengetengahkan tema yang berbeza iaitu tentang depresi.
Implikasi yang merupakan lagu ciptaan sepenuhnya Amy Bong, Den dan gubahan muzik oleh Zimi ini mengisahkan tentang kisah hidup seorang remaja yang mempunyai kerjaya yang sedang meningkat naik namun tidak mendapat sokongan daripada orang terdekat.
Malah hidupnya menjadi semakin sukar apabila ditinggalkan kekasih dan menghadapi masalah keluarga sekali gus menyebabkan remaja itu hilang arah lalu menghadapi tekanan hidup, selain berdepan dengan pelbagai konflik.
Menurut Sufi yang juga bekas Juara Akademi Fantasia (AF) 2015, single Implikasi ternyata berbeza daripada lagu-lagu sebelum ini, malah ia memberi sisi lain kepada dirinya.
"Lagu Implikasi ini ternyata lain daripada yang lain berbanding single-single sebelum ini, di mana lagu Aku sendiri menjadi kesinambungan kepada Aku Sanggup.
"Saya memilih lagu ini kerana melodinya yang mudah diingati dan bait-bait liriknya sangat menyentuh perasaan,” ujarnya.
Tambah Sufi lagi, proses pembikinan single ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah sekali gus memudahkannya untuk memberi fokus.
"Daripada melodi ke penulisan lirik sehinggalah kepada rakaman di studio, semuanya berjalan lancar.
"Saya mahukan hasil kerja yang teliti dengan mempunyai kriteria sendiri terhadap lagu yang dihasilkan, malah mempunyai signature Sufi Rashid,” jelas Sufi.
Sementara itu, Ketua Label Muzik, Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd., Feroz menyifatkan Implikasi mempunyai kekuatan yang tersendiri.
"Single Implikasi mempunyai kekuatan tersendiri dari segi lagu dan susunan muziknya. Ditambah lagi dengan nyanyian yang baik dari Sufi Rashid sekali gus dapat membantu single ini untuk memberi impak kepada pendengar-pendengar di luar sana.
"Sufi Rashid juga seorang yang rajin dan semangat apabila melakukan sesuatu perkara dan saya yakin dengan semangat yang dia ada, single terbaharu ini dapat diterima baik penggemar muzik Malaysia,” katanya.
Single Impilkasi diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. dan kini sedang hangat mendapat di corong-corong radio seluruh Malaysia.
Lagu ini juga boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didapati di semua platform digital termasuk Raku, Spotify, Joox, Apple Music dan lain-lain.